KUALA LUMPUR: Dihentam pelbagai pihak kerana tindakannya menarik diri daripada Sukan Komanwel 2022, Lee Zii Jia menegaskan, dia enggan ‘berperang mulut’ sebaliknya hanya mahu memberi tumpuan kepada permainan.
Pemain No. 5 dunia itu juga menegaskan, kritikan diterima tidak memberi kesan dalam persiapan menghadapi Terbuka Malaysia yang membuka tirai di Axiata Arena Bukit Jalil, esok.
“Saya tak berminat nak masuk campur dan takkan lawan balik (komen).
“Fokus saya hanya kepada permainan,” kata juara Asia itu sejurus menamatkan sesi latihan semalam.
Minggu lalu, Zii Jia membuat kejutan apabila mengumumkan enggan beraksi pada Sukan Komanwel yang berlangsung di Birmingham dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.
Tindakannya tidak disenangi beberapa pihak, apatah lagi pemain kelahiran Kedah itu dianggap prospek untuk mempertahankan pingat emas perseorangan lelaki yang dimenangi Datuk Lee Chong Wei di Gold Cost 2018.
Bekas pemain badminton negara, Datuk James Selvaraj mempersoalkan semangat kenegaraan Zii Jia yang memutuskan untuk tidak menyertai Sukan Komanwel bagi memberi fokus kepada Kejohanan Dunia yang berlangsung dua minggu selepas temasya berakhir.
Bekas pemain No. 1 dunia, Chong Wei pula berkata, beliau akan meletakkan Malaysia sebagai keutamaan dan tidak akan menolak untuk bertanding pada Sukan Komanwel yang hanya diadakan empat tahun sekali berbanding Kejohanan Dunia berlangsung setiap tahun.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai sesi latihan pertama di Axiata Arena semalam, Zii Jia berkata, setelah dua tahun tiada pertandingan di stadium berkenaan, Terbuka Malaysia mengujakan peminat serta pemain badminton negara.
“Semasa latihan tadi, terdapat angin seperti yang didakwa pemain-pemain lain. Memang agak mencabar tapi masalah itu bukan perkara baharu di Axiata,” ujarnya.
Jelas Zii Jia lagi, dia kini bersedia untuk mengharungi Terbuka Malaysia dan berharap dapat melakukan sesuatu di depan penyokong sendiri.