PETALING JAYA: Jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah untuk melangkah ke suku akhir Indonesia Masters sebentar tadi.
Seperti dijangka, pemain No.5 dunia itu mudah mengatasi Mark Caljouw dari Belanda 21-17, 21-14 pada pusingan kedua kejohanan yang berlangsung di Stadium Istora Senayan.
Zii Jia yang juga pilihan kelima kejohanan mempamerkan aksi terbaiknya dalam perlawanan itu dan hanya perlu mengambil masa selama 37 minit untuk menewaskan Caljouw.
Di peringkat suku akhir esok, Zii Jia akan berdepan pemenang antara pilihan keempat dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting dengan pemain Thailand, Sitthikom Thammasin bagi merebut tiket ke separuh akhir esok.
Zii Jia yang dalam misi memburu gelaran ketiga berturut-turut hadir di Stadium Istora Senayan dengan reputasi tinggi selepas berjaya muncul juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) dan Terbuka Thailand, bulan lalu.
Terdahulu, pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah turut mara ke suku akhir selepas menyingkirkan pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee Yu Lim 21-23, 21-17, 21-15.
Bagaimanapun, kecemerlangan Pearly-Thinaah itu gagal diteruskan oleh Vivian Hoo-Lim Chiew Sin apabila tewas 17-21,19-21 kepada pasangan tuan rumah Apriya Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.
Turut mengalami nasib sama ialah pasangan beregu campuran Hoo Pang Ron-Teo Ee Wei yang tersingkir di pusingan kedua selepas tewas kepada pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 22-20, 5-21, 15-21.- UTUSAN ONLINE