Tze Yong pemain terbaik kita di Komanwel

Tze Yong pemain terbaik kita di Komanwel

Aksi Ng Tze Yong ketika beraksi di Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan mempertahankan Ng Tze Yong sebagai antara pemain badminton terbaik dimiliki negara untuk dihantar ke Sukan Komanwel bulan depan biarpun perjalanannya pada Terbuka Malaysia terhenti di pusingan pertama semalam.

Tze Yong, 22, ditunjukkan jalan keluar biarpun berjaya mengheret pemain China, Luang Guang Zu yang berada di ranking ke 27 dunia hingga ke tiga set 16-21, 23-21, 18-21.

Kata Hendrawan, pada mulanya Terbuka Malaysia langsung tiada dalam perancangan sehinggalah mereka dimaklumkan pada saat akhir ­oleh penganjur apabila pemain Thailand, Khosit Pretpradab menarik diri.

“Pada asalnya slot Tze Yong milik Khosit, namun saat akhirnya penerbangannya ada masalah dan tidak dapat menukar jadual penerbangan, justeru dia tidak dapat hadir ke Malaysia.

“Kalau tengok penampilan Tze Yong hari ini (semalam), dia sudah berikan segalanya atas gelanggang, selepas Piala Thomas di Bangkok Mei lalu.

“Kecergasan menjadi isu utama, dan dalam tempoh lima minggu kami perbaiki hal itu dan nampak dia sudah ada peningkatan,” katanya semalam.

Bagi Tze Yong, dia mengakui kecewa penampilan sulungnya berakhir dengan kekalahan di pusingan pertama tatkala berazam untuk melakar kejutan biarpun mengetahui lawan memiliki ranking lebih tinggi.

“Saya dah berlatih dengan agak bagus sejak beberapa minggu ini.

“Sebelum turun ke gelanggang hari ini (semalam) saya agak yakin untuk menang, tetapi lawan lebih bagus.

“Kalau ikutkan prestasi saya hari ini(semalam), saya rasa saya mampu untuk bersaing di Sukan Komanwel nanti, tetapi saya mahu tumpu satu per satu terlebih dahulu,” katanya.

Tze Yong akan kembali ke gelanggang minggu depan untuk beraksi dalam Malaysia Masters, di mana dia membuka kempen menentang pemain Ireland, Nhat Nguyen pada 5 Julai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya