MELAKA: Mesyuarat Majlis Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) semalam meluluskan undi sebulat suara menyokong penuh kepemimpinan Presidennya, Datuk Abu Samah Abd. Wahab yang terpalit insiden perbicaraan tuduhan rasuah.
Mesyuarat PKBM semalam dihadiri 16 Ahli Majlis yang menuntut diadakan undi percaya ke atas Abu Samah bagi memastikan tampuk kepemimpinan persatuan tidak terganggu akibat perbicaraan kes rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill menjelaskan beliau telah mengemukakan usul undi percaya ke atas Abu Samah yang mula menjadi Presiden bermula 26 Februari 1990. Usul berkenaan disokong oleh Timbalan Presiden PKBM, Yunus Ibrahim dan Ahli Majlis dari Kedah, Zaim Ahmad.
“Keputusannya berakhir dengan semua Ahli Majlis sebulat suara menyokong dan mahukan Datuk Abu Samah meneruskan tugasnya sebagai Presiden sehingga perbicaraan SPRM selesai.
“Kami menyokong penuh dan menghormati Datuk Abu Samah yang terlalu banyak berjasa kepada PKBM sejak 1990,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Asean (ACA) kelmarin dituduh di Mahkamah Sesyen Melaka di bawah dua tuduhan menggunakan jawatannya bagi memperoleh suapan dengan memilih syarikat keluarga berkaitan sewaan kenderaan logistik dan penginapan atlet berbasikal bernilai keseluruhan RM48,811.85 dalam tempoh 2013-2019.
Beliau tidak mengaku salah dan memohon pertuduhan dibicarakan.
“Menuduh seseorang di mahkamah adalah satu perkara. Tetapi kita harus ingat seseorang itu tidak bersalah sehingga beliau didapati bersalah oleh mahkamah.
“Jadi, biarlah proses mahkamah berjalan dan kita juga hendak lihat saksi saksi yang akan ditampilkan ketika perbicaraan,” kata Amarjit yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).
Beliau juga menjelaskan hampir semua Exco PKBM telah dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dalam hal berkenaan sejak 2020.
“Kami telah memberi kerjasama penuh kepada SPRM sejak 2020. Kami telah menjelaskan bahawa semua keputusan yang diputuskan melibatkan pertuduhan berkenaan telah mendapat mesyuarat Exco PKBM,” katanya.