KUALA KANSGAR: Rintangan yang dihadapi tidak menghalang pelumba Perak, Nyo Ci Hui untuk muncul juara acara lepas beramai-ramai remaja wanita pada Kejohanan Basikal Kebangsaan di Dataran Amanjaya, Manong, Kuala Kangsar hari ini.
Biarpun tidak cukup tidur serta keletihan kerana baru tiba dari Kejohanan Remaja Asia di India kelmarin, selain berdepan masalah teknikal apabila rantai basikalnya jatuh tiga kali dan berlumba menggunakan basikal rakan, pelumba pelapis negara itu berjaya mengatasi peserta Johor A, Khairunnisa Aleeya Saifulnizam melalui photo finish.
Kedua-dua pelumba menamat perlumbaan sejauh 82.6 kilometer (km) dengan catatan 2 jam 35 minit 20 saat, tetapi Ci Hui, 18, diisytihar pemenang kerana rodanya lebih awal mencecah garisan penamat.
Intan Suraya Tokiman juga dari Johor A menduduki tempat ketiga dengan catatan 2’35:31s.
“Saya gembira dengan kejayaan ini kerana keletihan akibat tak cukup tidur.
“Saya sampai Kuala Lumpur lebih kurang pukul 8 malam dan bergegas ke Ipoh pukul 12 pagi tadi,” kata Ci Hui yang meraih satu emas dan dua perak di Delhi.
Menurut pelumba trek negara itu, dia tidak menyasarkan untuk memungut pingat emas dalam acara lebuh raya kerana menumpu perhatian kepada acara ujian masa perseorangan (ITT).
“Malangnya saya terlepas ITT kerana acara itu diadakan lebih awal, jadi saya sertai acara lebuh raya lepas beramai-ramai hari ini.
“Ternyata usaha saya berbaloi walaupun menghadapi dugaan apabila meraih emas,” katanya. – UTUSAN ONLINE