KOTA BHARU: Pembangunan sukan seni mempertahankan diri, Taekwondo di peringkat akar umbi di negeri ini menunjukkan peningkatan yang sangat baik dengan penglibatan murid-murid sekolah rendah.
Ketua Jurulatih Persatuan Taekwondo Negeri (MTA) Kelantan, Zakaria Ismail berkata, situasi itu amat positif selepas sukan Taekwondo di Kelantan sebelum ini kurang aktif ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
Zakaria berkata, dia ketika ini sibuk menyusun jadual untuk menguruskan sesi pengajaran di hampir 20 buah sekolah rendah di negeri ini bagi memenuhi permintaan dan juga minat anak-anak terhadap sukan itu.
“Sekarang permintaan untuk aktiviti pengajaran sukan Taekwondo di sekolah-sekolah terumatanya sekolah rendah amat luar biasa, mereka sudah mula minat dan ingin menguasai sukan ini sehingga ke peringkat tertinggi.
“Sebenarnya, ini adalah sesuatu yang positif untuk MTA Kelantan kerana melalui kaedah ini juga kita dapat membuat pemilihan atlet yang terbaik untuk dihantar bertanding ke kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya.
Menurut Zakaria, buat masa ini, dia melatih lebih 500 murid-murid sekolah rendah di Kelantan selain ada juga dalam kalangan ibu bapa dan guru-guru yang menghantar anak-anak mereka yang berumur seawal empat tahun untuk berlatih.
“Terbaharu sesi latihan di Sekolah Rendah (SK) Ipoh di Gual Ipoh di Tanah Merah dan SK Banggol Guchil di Kuala Krai yang membabitkan seramai 185 orang murid-murid. Alhamdulillah sambutannya amat memberansangkan,” kata Zakaria.-UTUSAN ONLINE