PETALING JAYA: Pasangan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah melangkah ke peringkat suku akhir badminton Indonesia Masters di Jakarta, Indonesia sebentar tadi.
Dalam aksi di Stadium Istora Senayan itu, pasangan negara yang ketika ini berada di kedudukan No.10 dunia mara selepas menewaskan pasangan Korea Selatan di pusingan kedua.
Pearly-Thinaah yang juga pilihan keenam kejohanan dipaksa mengambil masa selama satu jam 31 minit untuk menewaskan Baek Ha Na-Lee Yu Yim dalam aksi sengit tiga set 21-23, 21-17. 21-15.
“Kami sangat gembira dengan kemenangan ini tetapi kami tidak boleh leka. Kami perlu kekal fokus bagi menghadapi perlawanan suku akhir yang pastinya lebih mencabar,” kata Thinaah.
Pearly-Thinaah akan berdepan pilihan keempat kejohanan dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai bagi perebutan tempat ke separuh akhir.
Terdahulu, nasib tidak menyebelahi pasangan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Teo Ee Wei yang tersingkir di pusingan kedua selepas tewas kepada pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 22-20, 5-21, 15-21.-UTUSAN ONLINE