KL City FC mara ke separuh akhir

KL City FC mara ke separuh akhir

KAPTEN KL City, Paulo Josue kini bersedia untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City FC (KL City FC) mara ke peringkat separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC selepas berjaya menewaskan Tampines Rovers 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras sebentar tadi.

Kemenangan KL City FC menerusi dua gol yang dihasilkan ketua pasukan, Paulo Josue itu membolehkan skuad kendalian Bojan Hodak menamatkan saingan Kumpulan H dengan empat mata untuk muncul naib juara terbaik daripada tiga kumpulan Zon ASEAN.

Dalam perlawanan berkenaan, gawang Tampines Rovers bocor seawal minit ke-16 apabila Josue menyudahkan hantaran Akram Mahinan untuk gol pertama KL City FC bagi membangkitkan semangat memburu jaringan lebih besar.

Pada minit ke-19, Josue hampir menggandakan kedudukan buat KL City FC namun, sepakan percumanya sekadar menggegarkan palang kelab Singapura itu.

Berselang tiga minit kemudian, Josue terus mempamerkan ketajamannya apabila meledak gol kedua hasil hantaran lintang Irfan Zakaria yang tepat ke dada tonggak import dari Brazil itu sebelum dia melakukan sepakan voli menewaskan Muhammad Syazwan Buhari.

Aksi pemain KL City FC (Jersi Merah) ketika menentang Tampines Rovers dalam saingan Kumpulan H Piala AFC.

Tidak lama selepas itu, kealpaan benteng pertahanan KL City FC yang gagal mengesan larian Boris Kopitovic mengundang padah apabila pemain Tampines Rovers itu menanduk masuk hantaran Andrew Aw untuk merapatkan kedudukan menjadi 2-1 pada minit ke-37.

Percubaan KL City FC sekali lagi hinggap di palang, kali ini menerusi tandukan Romel Morales pada minit ke-41 sekali gus memaksa kedudukan 2-1 bertahan sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, skuad The City Boys berpeluang untuk menambah jaringan menerusi Romel Morales namun, percubaannya tepat menuju ke dakapan Muhammad Syazwan.

Tuah terus tidak menyebelahi tuan rumah apabila deretan peluang gagal disempurnakan sekaligus keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat dibunyikan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya