Kemenangan Zii Jia diiringi sorakan gempita peminat

Kemenangan Zii Jia diiringi sorak gempita peminat

Lee Zii Jia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sorakan peminat fanatik Lee Zii Jia yang menundukkan Nhat Nguyen dari Ireland mengiringi kejayaan pemain No. 5 dunia itu pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Pemain perseorangan utama negara itu mudah menundukkan anak didik Iskandar Zulkarnain yang menghuni ranking ke-40 dunia 21-15, 21-11.

Populariti yang diraih Zii Jia itu juga telah menjadikan Axiata Arena dipenuhi dengan kehadiran para peminatnya yang sanggup datang ke stadium sejak pagi untuk menyaksikan pemain kesayangan mereka beraksi walaupun anak kelahiran Kedah itu hanya masuk ke gelanggang pada sebelah petang.

Selain populariti pemain profesional Malaysia itu, penganjuran Terbuka Malaysia yang hanya kembali selepas dua tahun menyepi akibat pandemik Covid-19 turut menjadi faktor penyumbang kepada sambutan luar biasa diberikan peminat badminton tanah air.

SEBAHAGIAN penonton yang hadir di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Zii Jia ketika ditemui pemberita selepas perlawanan turut mengakui setelah dua tahun berlalu dan kini Terbuka Malaysia kembali ke Axiata Arena, banyak perubahan yang berlaku.

“Jika dibandingkan beberapa tahun lalu, sebagai pemain memang banyak yang telah berubah, sekarang saya lebih tenang dan matang untuk mengendalikan apa sahaja tekanan yang datang.

“Sekarang ini saya lebih bagus kendalikan tekanan,” katanya.

Mengulas pula mengenai aksinya di dalam gelanggang menentang Nguyen, pemain berusia 24 tahun itu memberitahu, rentaknya sedikit terganggu ekoran angin yang dapat dirasakan ketika dia bermain.

“Susah saya hendak bagi 100 peratus kerana angin. Saya juga telah lama tak main di sini,” ujarnya.

Dalam pusingan kedua esok, Zii Jia akan bertemu wakil Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito yang diberi kemenangan percuma selepas pencabarnya dari Denmark, Rasmus Gemke ditimpa kecederaan kaki.

Gemke yang menang set pertama 21-15, tidak dapat meneruskan aksinya sewaktu ketinggalan 9-11 dalam set kedua.

Kecederaan serius yang menimpa pemain berusia 25 tahun itu menyebabkan dia sukar berjalan dan tindakan Rhustavito membantunya berjalan keluar gelanggang mendapat tepukan gemuruh penonton.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya