KUALA LUMPUR: Johor Jewels berjaya menumpaskan juara bertahan KL Wildcats 50-40 dalam aksi final Sooka Netball Super League (NSL) 2022 di Stadium Juara, Bukit Kiara, sebentar tadi.
Kemenangan Johor Jewels membuktikan mereka sebagai kuasa baharu arena bola jaring tanah air dan menepati status pasukan pilihan edisi kali ini.
Johor Jewels mempamerkan aksi cukup garang sebaik wisel dibunyikan dan berjaya memberikan tekanan kepada KL Wildcats untuk mendahului pada suku pertama 17-8.
Bersambung suku kedua, Johor Jewels dan KL Wildcats terus mempamerkan permainan agresif dengan saling berbalas jaringan untuk suku kedua berakhir 31- 20.
Pada suku ketiga, KL Wildcats yang dibimbing Norizan Rajab cuba melakukan kebangkitan dan mereka berjaya untuk merapatkan kedudukan 39-34 selepas berjaya mengutip mata demi mata.
Sedar dengan kebangkitan KL Wildcats, anak-anak buah Fazira Mesnan memperkemaskan permainan pada suku terakhir menerusi gerakan-gerakan berbahaya duo tengah (C), Pow Mei Foong dan Nurfariha Abdul Razak.
Kekebalan benteng pertahanan Johor yang diketuai goal keeper (GK), Gayani Samanthika juga turut memberi kesukaran buat KL Wildcats melakukan jaringan untuk merapatkan kedudukan.
Dalam masa yang sama, goal shooter (GS) terbaik negara, An Najwa Azizan terus memainkan peranan penting untuk memaju kemenangan Johor Jewels dengan keputusan akhir 50-40.
Sementara itu, pertemuan penentuan tempat ketiga-keempat yang berlangsung pada sebelah petang menyaksikan, Selangor Angels berjaya menewaskan Pahang Tulips 69-65.-UTUSAN ONLINE