MARYLAND: Walaupun pernah melalui detik hitam, Chun In-gee tidak sesekali melupakan matlamatnya iaitu kembali merangkul kejuaraan dalam Jelajah LPGA.
Bintang Korea Selatan berusia 27 tahun itu akhirnya mencapai misi tersebut dengan muncul juara Kejohanan PGA Wanita (LPGA) KPMG di Bethesda, Maryland semalam.
Kemenangan dengan satu pukulan ke atas Lexi Thompson dari Amerika Syarikat (AS) dan Minjee Lee dari Australia adalah gelaran utama LPGA ketiga In-gee dan kemenangan keempat keseluruhan.
Begitupun, ia trofi pertamanya sejak Oktober 2018.
“Golf tidak pernah mudah, namun saya bagaikan tidak percaya berjaya mendapat kemenangan ini.
“Sebab itulah saya sangat emosional sekarang. Saya gembira dan badan saya masih menggigil,” kata In-gee.
In-gee menamatkan saingan di Congressional Country Club dengan catatan lima bawah par 283.
Dia sebelum ini menyerlah dalam Jelajah LPGA dengan memenangi Terbuka Wanita AS, kejuaraan LPGA tertua sebagai bukan ahli pada 2015.
Pada tahun berikutnya, In-gee merangkul kejuaraan utama kedua pada Kejohanan Evian sambil mencipta rekod untuk skor kemenangan terendah dalam pertandingan utama lelaki atau wanita, iaitu 21 bawah par.
Dia kemudian memenangi Rookie of the Year dan Trofi Vare sebagai pendahulu mata dunia pada 2016.
Begitupun In-gee kemudian mengalami kesukaran untuk pergi lebih jauh dalam tempoh dua tahun lalu kerana mengalami kemurungan, malah hampir mengumumkan persaraan.
Dia mendedahkan, sering kebingungan mengenai hala tujunya dalam golf, dan selepas berbincang hati ke hati dengan kakaknya, dia memberi satu lagi peluang kepada diri sendiri.
“Sejujurnya, minggu lepas, saya bercakap dengan kakak saya, dan saya benar-benar menangis.
“Saya berkata, saya tidak tahu apa yang saya mahu lakukan. Saya tidak mempunyai sebarang matlamat kerana saya berasa sangat sakit,” katanya sambil mengalirkan air mata. – AGENSI