KUANTAN: Keputusan Lee Zii Jia menarik diri daripada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, bulan depan perlu dihormati kerana jaguh badminton negara itu membuat keputusan selepas menilai prestasi kesihatannya.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, juara Asia dan pemain No. 5 dunia itu telah mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan selepas melakukan penilaian secara menyeluruh tahap kecederaan dialaminya.
“Pasukan Zii Jia juga sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membolehkannya menjalani tempoh pemulihan lebih lama.
“Saya difahamkan Zii Jia memerlukan kira-kira enam minggu untuk pulih sepenuhnya daripada masalah itu dan mempercepatkan proses pemulihan untuk ke Sukan Komanwel mungkin akan memburukkan lagi kecederaan.
“Kami tidak mahu menetapkan matlamat jangka pendek di mana Zii Jia mungkin tidak berada pada tahap terbaik dan beraksi buruk dalam Sukan Komanwel dan Kejohanan Dunia,” katanya selepas merasmikan Litar GO-Kart Legacy berkonsep tertutup di Berjaya Megamall di sini hari ini.
Litar go-kart tertutup itu adalah yang pertama di Pantai Timur bernilai kira-kira RM800,000 dan dikendalikan Speed Track Legacy.
Kata Lian Ker, beliau menghubungi Zii Jia semalam dan simpati dengan situasi dihadapinya.
“Ini adalah perkara yang kita perlu hormati kerana dia masih mengalami kecederaan dan kita faham ramai rakyat Malaysia kecewa dengan keputusan tersebut memandangkan beliau antara prospek untuk menyumbangkan pingat emas.
“Kita masih ada pemain lain yang mewakili negara di sana, jadi mereka juga berpeluang memberikan pingat emas untuk kontinjen negara,’’ katanya.
Khamis lalu, Zii Jia mengumumkan tidak akan bersama kontinjen negara di Sukan Komanwel yang dijadualkan bermula 28 Julai hingga 28 Ogos ini kerana mahu memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia di Jepun pada 22 hingga 28 Ogos. – UTUSAN ONLINE