Hamilton patut bersara dan sertai dunia fesyen

Hamilton patut bersara dan sertai dunia fesyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Bekas bintang Formula Satu (F1) Britain, Jackie Stewart merasakan adalah satu ‘kerugian’ buat Lewis Hamilton kerana belum bersara daripada perlumbaan F1 bagi mengekalkan legasinya.

Hamilton setaraf legenda Jerman, Michael Schumacher dengan meraih kejuaraan dunia paling banyak, malah tahun lalu bintang Britain tersebut hampir menambah koleksi gelaran kepada lapan sebelum kalah kepada Max Verstappen pada perlumbaan akhir penuh kontroversi.

Musim ini, Hamilton bergelut bersama Mercedes apabila sekadar berada di kedudukan keenam keseluruhan, 34 mata di belakang rakan sepasukan, George Russell, dan 98 mata di belakang pendahulu, Verstappen.

Menurut Stewart, Hamilton sepatutnya berhenti ketika berada di kemuncak, dan bekas juara dunia tiga kali itu percaya dunia fesyen adalah lebih sesuai buat pelumba berusia 37 tahun itu.

“Dia bergelut kerana mempunyai rakan sepasukan baharu (Russell) yang lebih pantas ketika sesi kelayakan tahun ini, dan ia sesuatu yang sukar untuk ditangani Hamilton.

“Saya rasa sudah tiba masa dia mengundurkan diri. Dia meminati muzik, hiburan dan menyukai pakaian. Dunia fesyen pasti sesuai buatnya.

“Saya percaya dia akan menjadi seorang yang berjaya kerana dia telah meraih banyak duit hanya sebab dia pernah menjadi yang terbaik ketika eranya,” jelas Stewart.

JACKIE STEWART

Hamilton tekad untuk membantu Mercedes musim ini selepas mengharungi permulaan sukar di awal musim, namun sejak kebelakangan ini, dia berjaya untuk mendapat kedudukan lebih baik.

Selepas meraih tempat keempat pada Grand Prix Azerbaijan, Hamilton berjaya menaiki podium di Kanada untuk mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga, mendahului Russell.

“Hanya kerana kami menghadapi kesukaran, bukan dalam DNA saya untuk terus undur diri.

“Kami masih juara dunia, dan kami masih boleh atasinya. Ia hanya akan memerlukan sedikit masa, dan ini akan menjadi tahun yang sukar.

“Saya rasa tahun ini akan menjadi musim sukar untuk kami harungi, dengan harapan kami mampu memperbetulkan beberapa perkara dan akan melepasinya tahun depan,” kata Hamilton. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya