JOHOR BAHRU: Khabar angin mengenai perpindahan Daniel Ting menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya terjawab apabila perkara itu disahkan kelab tersebut.
Penyertaan pemain itu diumumkan menerusi hantaran video pendek berdurasi 32 saat dalam Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers.
Video pendek itu memaparkan Daniel melangkah keluar dari sebuah limosin memasuki Stadium Sultan Ibrahim dan kehadirannya disambut oleh Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards.
Pemain pertahanan berusia 29 tahun itu akan menyarung jersi nombor 33.
Nama pemain kacukan Malaysia-England itu menjadi sebutan selepas beraksi cemerlang bersama KL City pada musim lalu hingga membantu pasukan tersebut memenangi Piala Malaysia 2021 menewaskan JDT 2-0.
Bagaimanapun, pemain itu akhirnya ditamatkan kontrak oleh KL City atas alasan dia enggan mengambil suntikan vaksin susulan peningkatan kes Covid-19.
WELCOME HOME! ??#DanielTing#NewSigning pic.twitter.com/F924zohCoz
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) June 27, 2022
Daniel dikaitkan dengan JDT selepas digugurkan daripada kelab KL City dan khabar angin itu bertiup kencang selepas dia hadir ke Stadium Sultan Ibrahim menyaksikan perlawanan JDT menentang Selangor FC, Jumaat lalu.
Pemain kelahiran England itu dilihat bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Mauricio Dos Santos yang meninggalkan kelab itu setelah empat tahun menyarung jersi Harimau Selatan. – UTUSAN ONLINE