PETALING JAYA: Tindakan mengejut Lee Zii Jia menarik diri daripada Sukan Komanwel Birmingham tidak membuatkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ‘panik’, sebaliknya mereka kekal dengan sasaran dua pingat emas yang diletakkan sebelum ini.
Prestasi baik beregu campuran dan wanita ketika ini menjadikan kedua-dua acara tersebut sasaran utama Malaysia pada temasya 28 Julai hingga 8 Ogos, malah kontinjen negara juga memiliki beregu lelaki yang meyakinkan.
“Kita harus melihat ini sebagai satu pasukan, dan saya rasa semua pemain bersemangat untuk meneruskan tradisi Malaysia dalam acara badminton di Sukan Komanwel.
“Ketika ini kita masih dengan sasaran asal iaitu dua emas, namun kami akan perincikan lagi pelan tersebut,” kata Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria semalam.
Rabu lalu, juara Asia, Zii Jia membuat keputusan mengejut untuk menarik diri daripada temasya empat tahun sekali itu bagi memberi tumpuan penuh kepada Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Tokyo, dua minggu selepas temasya Sukan Komanwel berakhir.
Antara prospek yang dilihat mampu capai misi berkenaan adalah beregu wanita Pearly Tan-M.Thinaah, selain beregu campuran Chan Peng Soon-Cheah Yee See serta Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.
Saingan badminton Sukan Komanwel bakal menawarkan enam pingat emas, termasuk satu dalam acara berpasukan campuran.
Empat tahun lalu di Gold Coast, Malaysia membawa pulang dua emas menerusi Datuk Lee Chong Wei dalam perseorangan lelaki dan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Vivian Hoo.
Dalam masa sama, Norza turut menggesa Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Wong Choong Hann menguatkan lagi sektor perseorangan lelaki negara memandangkan jurang masih lagi besar dengan kelompok terbaik dunia.
Ketika ini, pemain terbaik dimiliki BAM dalam acara perseorangan lelaki adalah menerusi Ng Tze Yong, namun rankingnya sekadar berada di tangga ke-48 dunia. – UTUSAN