Axelsen serius mahu takluk Malaysia

Axelsen serius mahu takluk Malaysia

VIKTOR Axelsen (kanan) menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara semalam dalam persiapan menghadapi Terbuka Malaysia yang membuka tirai, Selasa depan. – IHSAN SIN CHEW DAILY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas memenangi dua gelaran di Indonesia bulan ini, pemain No. 1 dunia, Viktor Axelsen kian bernafsu untuk memburu dua lagi kejua­raan di Malaysia dengan hadir lebih awal menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Juara Olimpik itu bakal be­rentap dalam dua kejohanan di negara ini iaitu Terbuka Malaysia yang membuka tirai dari Selasa depan hingga 3 Julai, diikuti Masters Malaysia dari 5-10 Julai.

Ia juga satu pengiktirafan buat ABM menerima kunjungan jaguh Denmark tersebut memandangkan Axelsen sebelum ini pernah hadir ke Malaysia dan membuat latihan di Cheras pada 2019.

LAKSHYA SEN 

“Saya berbincang dengan Lakshya Sen (perseorangan lelaki India) tentang perancangan untuk berlatih bersama, dan kami berbincang dengan Wong Choong Han (Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia) dan dia amat me­ngalukan kedatangan kami.

“Saya rasa amat bertuah berlatih di sini walaupun Lakshya belum tiba tetapi saya masih ada rakan sepasukan, Rasmus Gemke,” jelas Axelsen.

Juara dunia 2017 itu juga menawarkan kepada mana-mana pemain untuk berlatih bersamanya sebagai persiapan rapi bagi menghadapi dua kejohanan tersebut.

VIKTOR Axelsen mendukung anak perempuannya ketika menjuarai Terbuka Indonesia minggu lalu. – AFP

“Seperti anda lihat, latihan saya terbuka dan tiada apa yang saya mahu rahsiakan. Saya terbuka untuk berlatih dengan mana-mana pemain, seperti mana kem latihan saya di Dubai.

“Saya berlatih dengan pelbagai jenis pemain dan saya mahu buat persiapan rapi untuk Terbuka Malaysia,” kata pemain berusia 28 tahun itu.

Biarpun sudah mengumpul empat kejuaraan musim ini, termasuk dinobat sebagai juara All England pada Mac lalu, selain emas Kejohanan Eropah sebulan kemudian di Madrid, namun ­Axelsen tetap merendah diri tatkala dia kini dilabel sebagai pemain yang sukar ditandingi.

LEE CHONG WEI

“Saya amat gembira dengan cara saya bermain sejak dua tahun lepas, saya cuma mahu lakukan yang terbaik untuk setiap kejohanan yang saya sertai.

“Saya gembira dapat mencapai banyak perkara yang diimpikan seperti memenangi Olimpik, Kejohanan Dunia, All England, Terbuka Indonesia dan semua kejohanan besar, malah ada antaranya saya mempertahankan gelaran.

“Begitupun, jauh sama sekali untuk menganggap sekarang adalah era saya selepas ketiadaan Lin Dan atau (Datuk) Lee Chong Wei,” katanya.

Selain skuad Denmark, turut kelihatan berlatih di ABM semalam adalah bekas juara wanita dunia dan Olimpik dari Sepanyol, Carolina Marin.

Tidak ketinggalan pemain Hong Kong, manakala barisan beregu campuran Perancis seperti Ann Tran dan Wiliam Villeger menjalani latihan bersama skuad Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya