PETALING JAYA: Sebanyak 2,000 peserta dalam dan luar negara dijangka akan menyertai pertandingan larian denai Cameron Ultra 2022 pada Julai depan.
Pengarah Operasi Zulkiflee Zainal berkata, empat kategori akan dipertandingan dalam acara itu antaranya 100, 55, 30 dan 15 kilometer (km) dengan melalui pelbagai laluan termasuk ladang teh, pendakian berbukit dan denai hutan.
Katanya, acara tersebut juga menawarkan hadiah bernilai lebih RM20,000 terdiri daripada pelbagai barangan.
“Walaupun kita buka penyertaan agak lambat, sambutan begitu hangat terutama selepas penularan pandemik Covid-19.
“Malah, peserta luar negara terutama dari Singapura, Filipina dan China juga banyak yang telah mengesahkan penyertaan mereka untuk ediri kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Acara larian denai ini akan bermula pada 15 sehingga 17 Julai depan turut dijadikan sebagai acara larian kelayakan bagi penyertaan Ultra Trail Mont-Blanc (UTMB).
Dalam pada itu, Pengarah Teknikal Fais Azmir berkata, selain laluan yang mencabar, peserta juga dijangka perlu berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu di Cameron Highlands.
“Semua krew telah bersiap sedia di sepanjang laluan dan mereka telah berada selama empat hari dalam hutan untuk pastikan penanda arah lengkap.
“Selain itu, untuk acara kali ini, setiap peserta juga perlu pastikan tiba di setiap checkpoint dalam masa yang ditetapkan.
“Jika tidak, mereka akan dikeluarkan daripada acara pertandingan kerana tidak cukup cergas.Kita mahu pastikan semuanya selamat dan perjalanan acara ini berjalan lancar,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE