PETALING JAYA : Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia merangkul gelaran kejuaraan badminton Terbuka Thailand selepas menundukkan pemain China, Li Shi Feng pada aksi final yang berlangsung di Impact Arena, sebentar tadi.
Bagaimanapun, Zii Jia yang ketika ini menduduki kedudukan No. 6 dunia diheret untuk beraksi dalam tiga set untuk menundukkan Shi Feng dengan keputusan 17-21, 21-11 dan 23-21 dalam masa 69 minit sebelum bergelar juara.
Kemenangan ke atas pemain China itu menyaksikan Zii Jia yang ketika ini berumur 24 tahun masih belum tewas sejak separuh akhir Kejohanan All-England Mac lalu.
Pada aksi final, pemain kelahiran Kedah itu tewas 17-21 pada set pertama dalam tempoh 21 minit selepas melakukan beberapa kesilapan mudah sekaligus memberikkan kelebihan kepada lawan untuk menamatkan set pertama.
Zii Jia yang sememangnya terbukti dengan semangat melawan bangkit pada set kedua dengan kemenangan 21-11 dalam tempoh 19 minit untuk mengheret ke set penentuan.
Ketinggalan lima mata ketika lawan berada pada kedudukan 17 tidak melemahkan semangat Zii Jia yang bangkit memberikan saingan hingga menyebabkan Shi Feng melakukan kesilapan mudah.
Zii Jia akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada kedudukan 19 sama sebelum aksi mendebarkan disajikan kedua pemain sehinggalah kemenangan mutlak diraih pemain negara dengn keputusan 23-21.-UTUSAN ONLINE