PETALING JAYA: Kejayaan merangkul kejuaraan Asia dalam penampilan sulung di Manila minggu lalu bagaikan memberi ‘kuasa’ baharu kepada Lee Zii Jia untuk meneruskan kecemerlangan bersama pasukan negara dalam saingan badminton Piala Thomas yang membuka kempen di Bangkok, Isnin ini.
Jurulatih pemain No. 6 dunia itu, Indra Wijaya mengakui, keyakinan dan sema ngat anak didiknya kini di tahap tertinggi selepas merangkul kejuaraan individu kedua dalam kariernya.
“Sebagai jurulatih, kemenangan di Kejohanan Asia lalu pastinya menjadi kebanggaan untuk Malaysia, malah sebenarnya ia berkat pasukan kami yang kuat. Di belakang saya dan Zii Jia ada kakaknya, Lee Zii Yii sebagai pengurus, Sandra Fiedler sebagai fisioterapi, Lim Joe Hiang sebagai jurulatih kecergasan dan Liew Daren sebagai rakan sepelatih.
“Bagi saya, semuanya memerlukan proses dan kami sedang menjalaninya dengan sangat baik. Saya menganggap kemenangan itu sebagai makna positif untuk menghadapi Piala Thomas tidak lama lagi,” katanya.
Dalam final Kejohanan Asia, Ahad lalu, Zii Jia muncul juara selepas menundukkan bintang Indonesia, Jonatan Christie 21-17, 23-21, sekali gus membantunya naik satu anak tangga dalam ranking dunia.
Kejuaraan Asia adalah gelaran kedua Zii Jia selepas Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) sejak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak secara profesional pada Januari lalu.
Pemain berusia 24 tahun yang juga juara All Englad 2021 itu merupakan pemain keenam Malaysia berjaya muncul juara Asia selepas Teh Kew San (1962), Tan Aik Mong (1971), Datuk Rashid Sidek (1991, 1992(, Foo Kok Keong (1994) dan Datuk Lee Chong Wei (2006, 2016).
Pasukan negara akan memulakan kempen Piala Dunia dengan menentang England dalam saingan Kumpulan D, Isnin ini. Malaysia turut diundi bersama Jepun dan Amerika Syarikat (AS) yang menggantikan New Zealand.
Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah di Kuala Lumpur pada 1992. – UTUSAN