IPOH: Pemilik baharu Perak FC, XOX Berhad akan menyelesaikan segala hutang kelab itu sebaik urusan jual-beli kelab itu dimuktamadkan hari ini.
Pengerusi XOX, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, melunaskan segala hutang piutang khususnya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan badan bola sepak dunia, FIFA menjadi agenda utama mereka.
“Kami mahu bebaskan Perak FC daripada hukuman yang dikenakan oleh badan induk bola sepak negara dan antarabangsa agar Perak dapat bersaing menggunakan pemain terbaik.
“Kami mahu menggunakan khidmat Indra Putra (Mahayuddin), Wan Zack Haikal (Wan Noor), Ahmad Syamim Yahya dan Zamer Selamat secepat mungkin.
“Mereka akan menyertai kami tidak lama lagi, ” katanya.
Abdul Azim yakin, hukuman terhadap pasukan itu, termasuk larangan pengambilan pemain import baharu akan ditarik balik sebaik sahaja pembayaran dibuat tanpa perlu menunggu jendela perpindahan kedua dilaksanakan pada 29 Mei ini.
“Kami akan bayar semua hutang dan terpulanglah kepada FAM atau Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan yang terbaik. Apa sahaja boleh terjadi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah yakin bakal pemilik baharu Bos Gaurus akan membawa impak positif kepada pasukan.
Menurut Muhammad Yunus, dengan pengalaman luas Abdul Azim sebagai bekas Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) dan Ketua Kontinjen negara pada temasya Sukan Asia 2018, dia akan mewujudkan suasana baharu dalam pentadbiran Perak FC.
“Dengan wawasan, kepimpinan dan pengetahuan sukan yang luasnya bakal membawa fenomena baru kepada kelab itu,” katanya.