PETALING JAYA: Penerjun negara, Ooi Tze Liang memastikan emas ketiga milik negara apabila tidak berdepan masalah mengungguli acara 1 meter (m) papan anjal lelaki pada Sukan SEA Vietnam 2021, sebentar tadi.
Tze Liang mengutip 377.70 mata selepas melakukan enam terjunan untuk jauh meninggalkan lima pencabar lain.
Ini juga emas kedua buat Tze Liang selepas memenangi acara 3m papan anjal seirama lelaki bergandingan Chew Yi Wei pada hari pertama semalam.
Emas pertama negara pada edisi ke-31 Sukan SEA di Hanoi disumbangkan oleh juara Piala Asia 2019, Nur Dhabitah Sabri dalam 1m papan anjal wanita semalam.
Pingat perak pula dimenangi penerjun Singapura, Avvir Tham Pac Lun yang memperolehi 286.40 mata, manakala gangsa milik seorang lagi penerjun negara yang beraksi kali pertama pada temasya Sukan SEA, Bertrand Rhodict Lises yang mengumpul 284.90 mata. – UTUSAN ONLINE