PETALING JAYA: Nur Assyira Zainal Abidin tidak menyimpan dendam mahupun berkecil hati dengan sesetengah pihak yang menganggap penyertaannya sebagai pelumba berbasikal bukit (MTB) negara pada Sukan SEA Vietnam sekadar ‘pelengkap jadual’.
Sebaliknya, layanan ‘sepi’ itulah yang membakar semangatnya dan rakan-rakan sepasukan untuk melakar kejutan memenangi pingat emas di Wilayah Hoa Binh dalam rentas desa Olimpik berganti-ganti campuran.
Pasukan yang diwakili Nur Assyira, Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zulfikri Zulkifli dan Natahsya Soon terbang ke Vietnam atas tiket kategori B, di mana mereka perlu menanggung perbelanjaan sendiri.
Nur Assyira sebelum ini juga pernah meluahkan kekecewaan kepada Utusan Malaysia selepas namanya tercicir daripada senarai Sukan SEA biarpun berjaya menjuarai kejohanan kebangsaan, Mac lalu.
Pelumba berusia 28 tahun itu akhirnya membuktikan, dia bukan sahaja membantu pasukan meraih emas, malah turut membawa pulang perak acara individu. Natahsya pula meraih gangsa.
“Saya berterima kasih kepada Utusan Malaysia sebab menyiarkan luahan saya sebelum ini.
“Tiada pihak memandang kemampuan kami (MTB) dan anggap kami setaraf pasukan jalan raya dan trek.
“Kami sebenarnya tak marah tapi jadikan itu sebagai pencetus untuk berjaya dan buktikan mereka salah.
“Tak ada simpan dendam,” katanya ketika ditemui di LapanganTerbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) sebaik sahaja tiba dari Hanoi kelmarin.
Pada Sukan SEA ke-31, pasukan MTB menamatkan saingan dengan masa 1 jam, 23 minit dan 14 saat untuk mengetepikan Vietnam dan Thailand.
Nur Assyira dan Natahsya turut menghadiahkan pingat perak dan gangsa dalam acara MTB rentas desa Olimpik wanita.
Kepulangan Nur Assyira kelmarin disambut ibunya, Hasmah Omar, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed serta Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Mazlan Mohamad. – UTUSAN