PETALING JAYA: Selain Thailand yang sememangnya diramal mendominasi perebutan pingat emas pada Sukan SEA Hanoi yang bakal membuka tirai Khamis ini, tuan rumah, Vietnam turut diawasi rapi skuad sepak takraw kebangsaan yang dilihat mampu menggugat pemburuan pingat Malaysia.
Ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad berkata, ketiadaan pertandingan di peringkat antarabangsa menyebabkan pihaknya sukar untuk mencongak kekuatan pasukan lawan khususnya Vietnam yang agak berahsia tentang barisan yang bakal mereka turunkan.
“Seperti Thailand, saya difahamkan mereka menurunkan rata-rata pemain berpengalaman yang beraksi pada Sukan SEA 2019, mereka cuma menurunkan seorang muka baharu.
“Vietnam tidak banyak yang saya ketahui, namun saya jangkakan sebagai tuan rumah mereka pasti akan main berhabis-habisan. Kita pula berada dalam kumpulan sama dengan Vietnam dan Thailand untuk acara regu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut Abdul Talib, untuk acara beregu, Malaysia diletakkan bersama Indonesia dan Kemboja dalam saingan kumpulan.
SEPAK TAKRAW
Tarikh pertandingan: 13-21 Mei
Venue: Dewan Sukan Daerah Hoang Mai
Ketua Jurulatih: Abdul Talib Ahmad
Pencapaian 2019: Dua perak, satu gangsa
Sasaran: Satu perak, dua gangsa
Emas ditawarkan: 8
Jumlah atlet: 12
TEKONG
Tekong: Muhammad Zarif Merican Ibrahim Merican, Muhammad Faisal Fuad, Zuhri Muhammad Zain, Muhammad Haziq Hairul Nizam
APIT KANAN
Muhammad Afifuddin Razali, Muhammad Noraizat Nordin, Muhammad Eqbal Shamsudin, Muhammad Redwan Hakim Muhammad
APIT KIRI
Norfaizzul Abd. Razak, Muhamad Asyraaf Abd. Hadi, Muhamad Zulhusni Basri, Aidil Aiman Azwawi
Ditanya mengenai persediaan terakhir skuad kebangsaan sebelum terbang ke Hanoi esok, beliau memberitahu, semangat anak-anak buahnya berada dalam keadaan terbaik dan tiada sebarang kecederaan yang menimpa.
“Beberapa hari sebelum terbang ke Vietnam, saya lebih menekankan kepada sokongan motivasi agar semangat para pemain terus berada pada tahap terbaik menjelang temasya,” ujarnya.
Skuad sepak takraw negara yang melakukan pengorbanan besar demi negara apabila memilih berpuasa dan beraya di pangkalan latihan dekat Janda Baik, Pahang akan berada di Bukit Jalil, hari ini bagi menjalani ujian RTK (kit ujian pantas) sebelum berlepas ke Vietnam.
Abdul Talib turut melahirkan keyakinan terhadap barisan pemain muda yang menjadi pertaruhan Malaysia pada temasya kali ini setelah lebih sebulan berlatih bersama di Janda Baik.
“Saya cuma berharap apabila berada dalam gelanggang sebenar nanti, para pemain dapat memberi fokus 100 peratus kepada permainan mereka dan tidak mudah gentar berdepan lawan yang lebih kuat serta berpengalaman,” jelasnya. – UTUSAN