HANOI: Skuad gimnastik berirama negara mengungguli acara all-around individu di Sukan SEA Vietnam selepas meraih pingat emas dan perak di Pusat Gimnasium Quan Ngua hari ini.
Koi Sie Yan merangkul emas ketujuhnya selepas mengumpul 109.100 mata, manakala Ng Joe Ee meraih perak (104.600). Gangsa milik gimnas Filipina, Breanna Labadan (96.650).
Bagi Sie Yan, 23, kemenangan ini menambah koleksi emas ketujuhnya sejak penampilan pertama di Sukan SEA Singapura 2015 biarpun turun dengan sedikit tekanan.
“Saya sudah berjanji mahu mempertahankan emas di sini sebelum datang ke sini dan ia berjaya dilakukan untuk menang emas buat Malaysia.
“Ini penampilan keempat saya di Sukan SEA dan sebaik sahaja tamat acara terakhir riben saya berasa sangat lega seperti hilang bebanan yang dibawa.
“Gimnas muda memberi saingan sengit tetapi saya gembira dapat menang emas sekali lagi kali ini,” katanya.
Dalam all-around menyaksikan empat disiplin dipertandingkan iaitu gelung, bola, belantan dan riben dengan tiga markah terbaik diambil kira untuk permarkahan keseluruhan.
Bagi acara gelung, gimnas senior itu berjaya mencatat 25.250, bola (29.850), belantan (27.400 dan riben (26.600) manakala Joe Ee mencatat 26.450, bola (25.450), belantan (26.400) dan riben (26.600). – UTUSAN ONLINE