KUANTAN: Bintang tengah Sri Pahang, Nor Azam Azih menegaskan, dia masih milik Tok Gajah dan berita yang mengaitkan dirinya dengan perpindahan ke Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya khabar angin.
Menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) yang akan dibuka minggu depan, nama tonggak Harimau Malaya berusia 27 tahun dikaitkan sebagai rekrut baharu yang akan dibawa masuk pengendali JDT, Benjamin Mora.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Azam berkata, sehingga kini dia masih terikat dengan Sri Pahang dan mahu memberi sepenuh komitmen untuk membawa skuad tersebut melangkah lebih jauh dalam saingan Liga M musim ini.
“Isu perpindahan saya ke JDT adalah khabar angin semata-mata.
“Sehingga sekarang, tumpuan saya adalah kepada Sri Pahang,” kata pemain kelahiran Maran itu ketika dihubungi yang kini menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.
Azam cemerlang bersama Sri Pahang musim ini apabila bukan sahaja mengendalikan bahagian tengah dengan baik, malah muncul antara penjaring utama Tok Gajah bersama Manual Hidalgo dan Mamaoud Zatara.
Aksi yang dipamerkan ketika menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Rabu lalu membantu Sri Pahang hampir meleburkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan yang hanya menjaringkan gol penyamaan 2-2 menerusi penalti Bergson da Silva pada minit ke-88.
Kelmarin, pengendali Pahang, Christophe Gamel menegaskan, Azam mempunyai ‘DNA’ Pahang dan pemain itu tidak akan dikaburi wang ringgit.
“Saya tahu hati Azam adalah bersama Pahang, ia bukan soal wang, kemasyhuran atau kegemilangan kerana dia seorang yang sangat merendah diri.
“Saya tidak melihat Azam akan menyertai Johor tetapi itu adalah pilihannya. Dia masih ada kontrak yang perlu dihormati,” katanya kepada sebuah portal sukan tempatan.