Satu emas, satu perak realistik sasaran buat boling

Satu emas, satu perak realistik sasaran buat boling

PEMAIN boling negara berlepas ke Hanoi semalam untuk menghadapi kempen Sukan SEA 2021. – IHSAN MTBC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia tidak gentar sekalipun musuh tradisi seperti Singapura, Indonesia dan Thailand menerbangkan skuad senior bagi merebut enam emas yang dipertandingkan dalam acara boling pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam yang membuka tirai temasya, Khamis ini.

Pengurus pasukan, Robert Lu berkata, keyakinan barisan muda yang menjadi pertaruhan skuad boling kebangsaan pada kali ini berada di tahap paling tinggi dan yakin mampu membawa pulang pingat emas yang diharapkan rakyat Malaysia.

“Kita tetap yakin dengan pemain-pemain muda ini. Kita tak rugi apa-apa pun sebab menurunkan skuad muda kerana mereka berupaya meraih pengalaman yang amat memberi manfaat.

“Pasukan lain memanglah turunkan skuad elit masing-masing. Kita dapat tahu Indonesia, Singapura dan Thailand membariskan pemain senior, cuma Malaysia dan Filipina yang membawa pemain muda,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

 

Skuad boling negara telahpun selamat berlepas ke Hanoi, semalam dengan sesi latihan rasmi akan bermula Ahad ini.

Menurut Robert, pada temasya kali ini tuan rumah Vietnam hanya mempertandingkan acara perseorangan, regu serta berpa­sukan dengan hanya enam pingat emas ditawarkan untuk ka­tegori lelaki dan wanita.

Jelasnya, memadai dengan Malaysia menghantar skuad muda kerana pasukan senior perlu fokus kepada kejohanan lebih besar yang bakal diharungi mereka.

“Kita tak hantar skuad elit kerana ada kejohanan lebih penting perlu diberi keutamaan pada tahun ini.

“Kita ada tiga kejohanan besar iaitu Kejohanan Dunia 2022 di Amerika Syarikat diikuti Kejohanan Tenpin Boling Asia di Hong Kong dan Terbuka Si­ngapura pada Disember,” ujarnya.

BOLING
Tarikh pertandingan: 16-19 Mei
Venue: Royal City Hanoi
Ketua Jurulatih: Halloway Cheah
Pencapaian 2019: Dua emas, tiga perak dan dua gangsa
Sasaran: Satu emas, 1 gangsa
Emas ditawarkan: 6
Jumlah atlet: 12

LELAKI
Muhd. Hafiz Zainuddin, Muhd. Syazirol Shamsudin, Nevern Netaneel Marcellinus, Shahrukh Amin Zulkifli, Akmal Qayyim Ali Hanifah dan Shafiy Zaim Noor Azam

WANITA
Nur Syazwani Sahar, Gillian Lim Siew Giok, Nora Lyana Nastasia Norkamal, Faten Najihah Ahmad Faik, Nerosha Keligit Thiagarajan, Puteri Nurul Dini Mohd. Faudzi

Pada temasya 2019 di Filipina, Malaysia secara keseluruhan memenangi tujuh pingat dengan dua emas, tiga perak dan dua gangsa.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok berkata, mereka hanya menyasarkan dua pingat iaitu satu emas dan satu gangsa kerana hanya enam acara dipertandingkan di Vietnam dan pesaing terdekat Malaysia pula menurunkan skuad elit.

“Begitupun kita tetap berjuang untuk memenangi pingat dalam semua acara. Kita jarang sekali menghampakan dan kali ini juga tiada perbezaan sekalipun mempertaruhkan pasukan muda,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya