PETALING JAYA: Ganjaran RM2 juta menanti skuad bola keranjang negara sekiranya berjaya membawa pulang pingat emas dalam Sukan SEA Hanoi yang membuka tirai Khamis depan.
Hadiah lumayan itu dijanjikan Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Seri Lee Tian Hock bagi meniup semangat para pemain yang menggalas harapan negara untuk membawa pulang pingat emas.
Menurut Tian Hock, beliau percaya dengan kemampuan kira-kira 40 atlet dan pegawai MABA untuk mencipta kejutan dan tentunya insentif yang diumumkan bakal membakar semangat untuk beraksi di Hanoi nanti.
“Sasaran kami sebenarnya satu perak dan dua gangsa namun, saya umum insentif RM50,000 untuk pemain serta jurulatih dan RM100,000 untuk ketua jurulatih sekiranya mereka bawa pulang emas.
“Jika meraih perak, pemain akan menerima RM20,000 manakala ketua jurulatih RM40,000. Untuk gangsa pula, pemain akan menerima RM10,000 dan ketua jurulatih RM20,000.
“Saya harap pengumuman ganjaran ini akan naikkan semangat mereka ketika di Hanoi nanti dan bermain dengan semangat yang kuat untuk menewaskan lawan dan dapatkan pingat untuk Malaysia,” katanya.
Selain itu kata Tian Hock, semasa di Filipina 2019, pasukan wanita meraih gangsa dalam acara 3×3 dan keputusan itu tentunya mahu ditebus selepas meraih emas pada edisi Kuala Lumpur 2017 dan Singapura 2015.
“Pasukan wanita kita pada 2015 dan 2017 dapat meraih emas. Hanya pada 2019, mereka meraih gangsa. Enam pemain dalam temasya yang memenangi emas itu ada dalam pasukan ketika ini dan mereka akan digandingkan bersama pemain muda.
“Pemain muda ini lebih tinggi namun kurang pengalaman, saya harap mereka dapat bersama-sama untuk menempa kejayaan di Hanoi nanti.
“Sekiranya mereka dapat sampai ke puncak pada hari pertandingan, saya pasti mereka boleh menang bukan saja 5×5 tetapi juga 3×3 memandangkan pada 2019, kita menang satu gangsa dalam 3×3,” katanya. – UTUSAN ONLINE