Rachel bukan pengganti Farah Ann

Rachel bukan pengganti Farah Ann

AKSI cemerlang Rachel Yeoh di Hanoi membolehkannya membawa pulang dua pingat emas menerusi acara gimnastik artistik, palang bertingkat serta batang titian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Rachel (Yeoh Li Wen) bukan pengganti Farah Ann (Abdul Hadi) kerana pemergian Farah tiada galang gantinya dan Rachel pula berada di kelasnya berbeza, dia adalah masa depan gimnastik Malaysia,” kata Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Afrita Ariany Nasril.

Menurut Afrita, MGF tidak mungkin dapat mencari pengganti Farah, lebih-lebih lagi dengan pencapaian yang dipamerkan atlet kelahiran Selangor itu sehingga mampu menjejakkan kaki ke Sukan Olimpik.

Begitupun katanya, selepas Farah bersara, ramai yang mula mencari siapa pengganti Farah, lebih-lebih lagi sewaktu dia bersara Malaysia ketika itu sedang bersiap sedia menghadapi Sukan SEA di Vietnam.

RACHEL Yeoh menghadiahkan pingat emas dalam acara palang bertingkat.

“Menjelang Sukan SEA, kita dikejutkan dengan kecederaan Tan Ing Yueh yang merupakan harapan pingat negara, jadi bebanan berat itu terpaksa digalas Rachel yang pernah ditimpa beberapa episod duka akibat kecederaan kedua-dua lututnya.

“Tetapi, itulah tiada siapa menyangka Rachel akhirnya bangkit dan memberikan harapan baru kepada masa depan gimnastik negara, dengan pencapaian dua pingat emas, satu gangsa pada Sukan SEA yang baru berakhir, MGF yakin Rachel mampu melangkah lebih jauh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mengulas lanjut tentang Rachel, Afrita memberitahu, MGF sebenarnya sudah mempunyai perancangan untuk menyusun langkah gimnas tersebut selepas ini.

Jelasnya, sasaran MGF ialah untuk membawa Rachel mara sehingga ke Sukan Olimpik Paris dalam tempoh dua tahun lagi.

FARAH ANN ABDUL HADI

“Kalau dulu Farah berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik dan kini dengan Rachel kita mahu lebih daripada itu, bukan sekadar layak tetapi melakukan sesuatu yang lebih bermakna seperti mara ke final pada temasya itu,” ujarnya.

Afrita berkata, pihaknya akan menyusun satu demi satu program latihan dan kejohanan yang bakal disertai Rachel dan rakan sepasukannya yang lain termasuk Ing Yueh, agar sasaran Olimpik dapat direalisasikan.

“Tumpuan kita selepas ini adalah Sukan Komanwel di Birmingham (28 Julai-8 Ogos) dan selepas itu Sukan Perpaduan Islam yang bermula 9 Ogos. Tahun depan sudah tentu kita ada Sukan Asia di China,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya