PETALING JAYA: ‘Busana Puteri’ yang dipakai Nur Dhabitah Sabri selaku pembawa Jalur Gemilang mencuri tumpuan dalam upacara pembukaan Sukan SEA 2021 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi sebentar tadi.
Melangkah masuk sebagai negara kelima dalam upacara penuh warna-warni itu, Nur Dhabitah yang sebelum ini meraih penghormatan sebagai pemenang pingat emas pertama temasya mengenakan songket biru, sampin kuning dan hiasan kepala mengetuai perbarisan 31 anggota kontinjen Malaysia.
Turut mencuri tumpuan, Ketua Kontinjen Negara (CDM), Datuk Nur Azmi Ahmad yang memakai busana ‘Pendekar Melayu’.
Anggota kontinjen lain pula mengenakan baju korporat rekaan khas bertemakan harimau yang melambangkan kuasa, semangat juang, keberanian serta kepahlawanan.
Malaysia menghantar kekuatan kontinjen 801 orang yang terdiri daripada 584 atlet dan 217 pegawai sepanjang edisi ke-31 temasya yang membuka tirai secara rasmi hari ini dan berakhir pada 23 Mei.
Atlet negara mengambil bahagian dalam 37 daripada 40 sukan yang dipertandingkan, melibatkan 338 daripada 526 acara keseluruhan.
Ketika temasya belum pun dibuka secara rasmi, kontinjen negara sudah menyambar sembilan emas, tiga perak dan enam gangsa untuk menduduki tangga kedua pungutan pingat di belakang Vietnam, yang memiliki 10 emas, tujuh perak serta 10 gangsa.
Lapan emas negara disumbangkan oleh acara terjun, di mana Nur Dhabitah menang dua daripadanya, manakala silat meraih sebutir emas dalam saingan ganda putra. – UTUSAN ONLINE