HANOI: Tiga tahun tidak beraksi di platform mencetuskan sedikit rasa gemuruh buat penyumbang emas pertama Malaysia pada Sukan SEA 2021, Nur Dhabitah Sabri apabila bergandingan dengan rakan baiknya, Datuk Pandelela Rinong dalam aksi 10 meter (m) platform seirama hari ini.
Berdasarkan reputasi Pandelela sebagai pemenang dua pingat Olimpik dalam acara platform, dia sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk menyumbangkan emas bersama Nur Dhabitah di Pusat Akuatik My Dinh, Hanoi.
Begitupun Nur Dhabitah, yang menghadiahkan emas pertama Malaysia pada edisi ke-31 temasya dalam acara 1m papan anjal wanita, Ahad lalu tidak melihat emas sudah terjamin buatnya dan Pandelela hanya kerana mereka berstatus ‘jaguh dunia’.
“Setiap kejohanan tidak sama walaupun Sukan SEA atau sebagainya tetapi saya sentiasa tanam dalam minda untuk buat sehabis baik dalam setiap terjunan dilakukan.
“Perasaan gemuruh tetap ada tetapi lega selepas meraih pingat emas (1m papan anjal). Saya akan terjun bersama Lela (Pandelela) dan cuba memberikan yang terbaik.
“Selepas tiga tahun tidak beraksi di platform, pelbagai perkara bermain di minda tetapi saya pasti dapat mengatasinya dan membuktikan kepada diri yang saya masih mampu melakukannya,” kata Nur Dhabitah yang lebih dikenali sebagai ratu papan anjal.
Selain 10m platform seirama wanita yang berlangsung pukul 5.45 petang, Malaysia juga menjadi pilihan untuk memenangi emas 3m papan anjal lelaki yang diadakan pada pukul 4 petang.
Pada Sukan SEA di Filipina, skuad terjun negara menyapu bersih empat emas dipertandingkan iaitu dalam acara tiga meter papan anjal individu serta seirama lelaki dan wanita, kali ini menggondol semua lapan emas yang ditawarkan menjadi sasaran skuad terjun.
KAPSYEN
Terjun-1
NUR Dhabitah Sabri (kiri) dan Pandelela Rinong bersedia untuk menyambar emas dalam acara 10m platform seirama wanita hari ini.
Terjun-2
NUR Dhabitah Sabri memburu pingat emas kedua di Hanoi selepas menyambar emas pertama pada edisi ke-31 temasya, Ahad lalu.