MANCHESTER: Penyokong Manchester United (MU) melabel Ralf Rangnick sebagai ‘ular’ dan mempersoalkan mengapa pengurus sementara Red Devils itu menerima tugas sebagai Ketua Jurulatih Austria.
Semalam jurulatih dari Jerman tersebut menandatangani perjanjian dua tahun bersama Persatuan Bola Sepak Austria (OFB) bagi menggantikan rakan senegaranya, Franco Foda yang meletak jawatan bulan lalu ekoran kegagalan layak ke Piala Dunia 2022.
United mengesahkan Rangnick akan menggalas dua tugas dalam satu masa apabila turut berperanan sebagai penasihat di Old Trafford selama dua tahun.
Jurulatih berusia 63 tahun itu akan memulakan tugas sebagai penasihat sebaik sahaja Erik ten Hag memulakan tugas pengurus, musim panas ini.
“Seriuslah, bagaimana dia boleh mendapat pekerjaan itu?” tulis penyokong yang menggunakan akaun Urge di Twitter.
Pemilik akaun Damon pula menulis ‘ular’ bersama emoji patah hati.
Penyokong lain mempersoalkan bagaimana persediaannya untuk mengendalikan tiga aksi terakhir dalam Liga Perdana.
“Tidak faham mengapa dia masih kekal di United? Membuang wang dan masa kerana saya tidak dapat melihat potensinya. Semoga berjaya di Austria,” kata Mukunda Gurung diikuti emoji tong sampah.
Penyokong United juga mengecam bekas bos RB Leipzig itu dengan menuduhnya menggunakan kelab sebagai batu loncatan .
LLoyd Giles menulis: “Ini menunjukkan sejauh mana kita telah tumbang, seorang penasihat yang mendapat pekerjaan sepenuh masa lain hanya bersama kelab enam hari sebulan.”
“Dia datang ke sini hanya untuk mendapatkan pekerjaan lain,” tulis Mohammed Sayeed.
Menuju tiga aksi terakhir liga, United terkeluar dari kelompok empat terbaik dan menutup kempen tanpa sebarang kejuaraan buat musim kelima berturut-turut. – AGENSI