PETALING JAYA: Kecewa dengan pencapaian kontinjen Malaysia pada Sukan SEA Vietnam yang melabuhkan tirai Isnin lalu, Tan Sri Khalid Yunus menyeru pemimpin sukan agar berhenti berbalah sesama sendiri dan fokus kepada usaha meningkatkan sukan masing-masing.
Sebagai orang lama dalam sukan tanah air, Khalid yang pernah menggalas jawatan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) berkata, biarpun mencapai sasaran 36 emas di Vietnam, namun prestasi kontinjen negara sudah merosot.
Menduduki tangga keenam dalam kedudukan pingat keseluruhan menerusi 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa antara pencapaian terburuk Malaysia sejak temasya dwitahunan itu diperkenalkan pada 1959.
Majlis Sukan Negara (MSN) ketika membentangkan laporan penuh prestasi kontinjen Malaysia pada pada edisi ke-31 temasya menyenaraikan 17 sukan dalam kategori gagal, 14 cemerlang, sembilan memuaskan dan satu sederhana.
“Dalam apa badan sukan sekali pun, hasil kerja dan pencapaian banyak bergantung kepada corak serta kewibawaan pemimpin yang sesebuah badan itu, jadi corak kepimpinan pegawai, pentadbir dan jurulatih tentukan kejayaan atlet.
“Penekanan kepada corak latihan mesti diberikan perhatian, lain sukan, lain caranya.
“Cuma, dalam soal ini, atlet kena main peranan, mereka kena ada disiplin untuk berjaya. Kalau persiapan terbaik dan atlet tiada disiplin tiada guna juga.
“Kesimpulannya kalau nak berjaya pada masa akan datang, soal kepimpinan latihan dan disiplin mesti dlaksanakan oleh semua pihak.
“Pihak kepemimpinan pun sama jangan asyik nak bergaduh tidak habis-habis,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Khalid, semua persatuan sukan yang gagal harus mengambil tindakan drastik memperbetulkan kelemahan kerana jika mereka tetap selesa dengan keadaan sekarang, maka segala usaha dan sumbangan kerajaan akan menjadi sia-sia.
“Pencapaian di Hanoi saya berasa sedih dan dukacita, belum pernah dalam sejarah kejohanan itu pencapaian begitu buruk jika dibandingkan dengan negara-negara lain.
“Saya cakap begini sebab saya biasa jadi CDM (Ketua Kontinjen) Sukan SEA, Sukan Asia dan Olimpik.
“Sebagai orang lama dalam sukan, memang saya kecewa dan saya harap semua pihak ambil tindakan drastik perbetulkan segala kelemahan yang ada.
“Kalau tidak perbaiki, segala usaha dan sumbangan kerajaan akan jadi sia-sia dan program yang dirangka tidak bermakna.
“Tiada siapa mahu lihat kita sebegini (pencapaian buruk), jadi, semua pihak kena pastikan pencapaian buruk ini diperbaiki dalam temasya akan datang.
“Kena ingat, kita tidak pernah berada bawah Singapura dan Filipina,” katanya. – UTUSAN