PETALING JAYA: Bukan atlet yang gagal mencapai sasaran pada Sukan SEA 2021 sahaja perlu ‘dihukum’, malah pemimpin persatuan-persatuan sukan yang gagal juga wajar berundur.
Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad turut mencadangkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) agar mewujudkan satu jawatankuasa bagi menilai kelayakan serta pencapaian pemimpin-pemimpin persatuan sukan tersebut.
“Banyak perlu dibuat, kepimpinan perlu diubah. Saya setuju dengan apa yang dikatakan (Datuk) Sieh Kok Chi sebelum ini. Saya cadangkan, hadkan tempoh pemimpin untuk dua penggal sahaja kecuali dia menunjukkan prestasi yang baik untuk sukan yang dipegangnya itu.
“Bagi jurulatih pula, saya percaya MSN akan menyelesaikan masalah jurulatih bagi sukan-sukan yang sepatutnya boleh menjadi lubuk pingat, namun perlu juga diletakkan KPI untuk mereka capai.
“Jika mereka tidak berjaya capai, maka perlu adakan rombakan.
“Cadangan kedua, saya fikir MOM perlu wujudkan jawatankuasa kelayakan untuk pegawai bermula dari pengurus hingga ke jurulatih bagi setiap kejohanan atau temasya yang akan kita sertai.
“Jawatankuasa kelayakan tidak sepatutnya dibuat untuk atlet sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Biarpun kontinjen negara berjaya mencapai sasaran 36 emas yang diletakkan di temasya Vietnam dengan membawa pulang 39 emas, ramai yang melihat ia bukan satu pencapaian besar, apatah lagi kontinjen negara menutup saingan di tangga keenam dalam pungutan pingat.
MSN ketika mendedahkan laporan penuh prestasi sukan negara pada temasya itu meletakkan 17 sukan sebagai gagal, 14 cemerlang, sembilan memuaskan dan satu sederhana.
Kelmarin, Setiausaha Agung MOM, Kok Chi berpendapat ketiadaan pemimpin yang kuat dan bagus dalam sukan tertentu menyebabkan persatuan mereka gagal melahirkan lebih ramai atlet berkualiti. – UTUSAN