PETALING JAYA: Dua perlawanan dalam tempoh seminggu memberikan kesan ketara buat Kuala Lumpur City (KL City) yang cemas seketika sebelum menang tipis 3-2 ke atas Penang FC kelmarin.
Turun melayan kunjungan Sri Pahang, Ahad lalu dengan kekalahan 1-2, skuad bimbingan Bojan Hodak sekali lagi cemas melihat kebangkitan Penang FC pada aksi menarik di Stadium Bola Sepak, Cheras.
Walaupun selesa mendahului 3-0 pada 70 minit perlawanan, namun pemain KL dilihat mula keletihan dan Penang FC berjaya mengambil kesempatan itu untuk merapatkan jurang.
“Kami bermain baik dan mendahului 3-0 pada 70 minit pertama dan selepas itu kami mula merasai keletihan dari permainan tiga hari sebelum ini dan Penang yang lebih segar kerana tidak beraksi berjaya mengambil kesempatan.
“Bahagian tengah kami mula kehilangan bentuk akibat keletihan dan kami mula melakukan kesilapan terutama kesilapan individu dan perkara ini yang perlu diatasi segera.
“Kami juga perlu mengurangkan detik gila di bahagian pertahanan walaupun kami tidak mempunyai masalah menjaringkan gol,” katanya selepas perlawanan.
Mengenai jendela perpindahan kedua pemain bermula 28 Mei nanti, Hodak akan berbincang dengan pihak pengurusan kerana pasukan KL City adalah pasukan dengan bajet terendah dalam Liga Super.
Selepas ini KL City akan bertandang ke Stadium Negeri Kuching menentang Sarawak United, Selasa depan. – UTUSAN