PETALING JAYA: Bagi mencungkil lebih ramai bakat dalam sukan motocross, Kejuaraan MXKids Funrace Series 2022 yang akan diadakan di Keratong, Pahang bulan depan menyasarkan penyertaan 70 pelumba cilik.
Perlumbaan yang akan berlangsung di Trek Motocross Bandar Tun Razak pada 4 dan 5 Jun itu terbuka kepada peserta dari umur enam hingga 16 tahun dengan objektif utama membantu perkembangan pelumba pelapis negara.
Kejohanan itu yang bertujuan mempromosi motocross kalangan kanak-kanak dan remaja adalah inisiatif untuk menyokong pembangunan berterusan, sekali gus melahirkan lebih ramai bakat muda seperti Gabit Salleh.
Pusingan kedua MXKids dengan kerjasama Fattah Motorsports, KTM Malaysia dan AMSOIL akan membuka tirai dengan Klinik Menunggang Motocross Kadet oleh KTM Malaysia, yang mana semua pelumba cilik akan diajar teknik kawalan serta pemanduan jentera dua roda sebagai persediaan perlumbaan untuk hari seterusnya.
“Sukan motocross kini telah mendapat tempat dan perhatian dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak berumur 6 hingga 16 tahun.
“Jika 10 tahun lalu untuk mendapatkan lima pelumba kadet amatlah sukar, kini terdapat lebih 100 pelumba cilik akan merebut tempat bagi kategori kadet 50cc dan 65cc.
“Kejohanan ini bertujuan untuk mempromosi dan sebagai penggerak acara sukan motocross khusus untuk anak-anak berumur antara 6 tahun sehingga 16 tahun.
“Inisiatif ini diambil demi menyokong pembangunan berterusan di dalam dunia motocross kategori kadet dan junior peringkat akar umbi, selain bertindak sebagai platform mengembangkan bakat muda di Malaysia seperti Gabit Salleh,” kata penganjur dalam satu kenyataan.
Ibu bapa yang berminat untuk melibatkan anak-anak dalam kejohanan ini, pendaftaran masih dibuka dan boleh menghubungi talian 013-3600802. – UTUSAN