PETALING JAYA: Bebas kecederaan, menjadi faktor utama yang meyakinkan pasukan negara untuk memulakan kempen badminton Piala Uber di Bangkok hari ini dengan mengejutkan gergasi Eropah, Denmark.
Biarpun di atas kertas naib juara tiga kali itu dilihat sebagai pilihan untuk melepasi Kumpulan C bersama tuan rumah, Thailand, namun peningkatan yang ditunjukkan pemain wanita negara sejak akhir-akhir ini meningkatkan keyakinan Malaysia untuk mara ke suku akhir.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, pasukan negara dibenarkan berlatih di dewan utama Impact Arena, Bangkok, dua hari lalu, selain berpeluang awal untuk memulakan persiapan.
“Pemain dapat menyesuaikan diri dengan keadaan angin, bulu tangkis dan lampu di dalam dewan ini. Paling penting, mereka bebas kecederaan. Saya boleh katakan, mereka bersedia untuk menempuhi perlawanan ini dengan keadaan yang cemerlang,” katanya.
Beregu utama, Pearly Tan-M. Thinaah yang teruja kerana kali pertama membuat penampilan dalam kejohanan badminton berprestij itu bagaimanapun menganggap perlawanan pertama bertemu Denmark merupakan pemanas badan yang sukar dan mencabar.
Bagi Pearly, pengalaman tewas 1-4 kepada Denmark tahun lalu akan dibalas dengan mencipta saingan yang lebih agresif dalam perlawanan kali ini.
“Denmark bukan pasukan yang senang untuk dikuasai tetapi pada percaya kita masih ada peluang 50-50 untuk menang. Daripada segi pengalaman pun saya rasa pemain Denmark lebih baik sebab pasukan kita menghantar ramai pemain muda bermain kali pertama.
“Untuk saya, tiada tekanan bertemu mereka, malah saya yakin kami semua akan mengeluarkan segala kemampuan untuk tonjolkan perlawanan yang bagus,” katanya.
Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky berkata, peluang Malaysia untuk melakar kejutan ke atas Denmark bergantung kepada dua perseorangan, S. Kisona dan Goh Jin Wei.
“Kalau Kisona dan Jin Wei mampu mempamerkan prestasi terbaik mereka dan dua beregu kita bermain tanpa tekanan, saya percaya kita mampu mengejutkan Denmark.
“Saya mahu semua pemain bermain dengan ‘nothing to lose’ dan jangan terlalu menghormati lawan,” katanya. – UTUSAN
PIALA UBER
KUMPULAN C
HARI INI
Malaysia lwn Denmark
(3 petang)
PIALA THOMAS
KUMPULAN D
ESOK
Malaysia lwn England
(10 pagi)
*semua perlawanan di Impact Arena, Bangkok. Waktu Malaysia