PETALING JAYA: Malaysia akan menentang India dalam saingan suku akhir badminton Piala Thomas malam ini selepas muncul juara Kumpulan D dengan menumpaskan Jepun 3-2 di Bangkok, lewat malam tadi.
Pasukan negara yang memburu kejuaraan pertama sejak 1992 akan berdepan Korea Selatan atau Denmark sekiranya layak ke separuh akhir.
Undian hari ini juga menyaksikan juara bertahan, Indonesia bertemu China dalam pertembungan ulangan final tahun lalu, sementara juara Kumpulan C, Taiwan akan menentang Jepun.
Perseorangan utama negara, Lee Zii Jia percaya, pasukan negara mempunyai peluang baik untuk melangkah ke separuh akhir selepas mengetuai kemenangan Malaysia ke atas Jepun dengan menumpaskan Kento Momota 21-17, 21-8.
Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani kemudian menewaskan pasangan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-19, 21-16 untuk mata kedua, manakala gandingan serpihan, Aaron Chia-Teo Ee Yi menumpaskan Akira Koga-Yuta Watanabe 22-20, 21-17 untuk mata kemenangan. – AGENSI