PETALING JAYA: Skuad Speedy Tigers akan bertemu Korea Selatan di pentas final Piala Asia 2022 pada pukul 7.30 malam esok di Jakarta, Indonesia.
Dalam aksi terakhir Super 4 Piala Asia 2022 sebentar tadi, Korea Selatan terikat 4-4 dengan India sekali gus berjaya melayakkan diri ke pentas final.
Terdahulu, Malaysia layak ke pentas akhir selepas membenam cabaran Jepun 5-0 dalam perlawanan lebih awal di Stadium Gelora Bung Karno (GBK).
Malaysia layak ke final selaku juara kumpulan selepas mengumpul lima mata, Korea Selatan dan India juga mengumpul mata yang sama namun di bezakan dengan jumlah jaringan.
Pentas final esok merupakan medan terbaik untuk anak-anak buah Arul Selvaraj untuk menamatkan kemarau Piala Asia kerana sejak dipertandingkan Malaysia belum pernah muncul sebagai Juara.
“Persiapan untuk setiap perlawanan dilakukan oleh setiap pemain, saya hanya berikan panduan. Saya percaya kalau kita memperkasakan mereka, mereka akan menjadi lebih kuat.
“Untuk perlawanan akhir esok, pemain kena turun dengan tenang, sabar dan verikan segalanya kerana itu peluang terbaik untuk cipta sejarah,” kata Arul selepas tamat permainan menentang Jepun.
Untuk rekod, sejak Piala Asia diperkenalkan pada 1982, Malaysia belum pernah muncul juara dengan pencapaian terbaik adalah bergelar naib juara 2017 yang juga edisi terakhir kejohanan apabila tewas 1-2 kepada India di Dhaka, Bangladesh.-UTUSAN ONLINE