PETALING JAYA: Malaysia memulakan kempen Piala Thomas dengan langkah kanan apabila menewaskan England 5-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan D di Impact Arena di Bangkok hari ini.
Lii Zii Jia yang turun selaku wakil pertama negara, berjaya menyumbangkan mata pertama Malaysia apabila mudah membenam cabaran Toby Penty 21-10, 21-15 dalam masa 36 minit.
Mata kedua negara disumbangkan oleh Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang terpaksa menempuh perlawanan tiga set sebelum menang 19-21, 21-15, 21-16 ke atas pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy dalam masa satu jam dua minit.
Pertarungan antara kedua-dua beregu itu berlangsung sengit pada set pertama dengan saling berkejaran mata, pasangan England berjaya mengambil kesempatan untuk menang set pertama 19-21 sebelum Aaron dan Wooi Yik bangkit pada set kedua dan ketiga.
Pemain muda, Ng Tze Yong yang turun selaku perseorangan kedua negara tidak mengecewakan apabila berjaya menghadiahkan mata ketiga Malaysia apabila berjaya menewaskan Johnnie Torjussen 21-16, 19-21, 21-11 dalam masa satu jam lima minit.
Wakil keempat Malaysia Goh Sze Fei- Nur Izzudin menjadikan kedudukan 4-0 selepas pasangan negara itu berjaya menumpaskan Rory Easton-Zach Russ 21-13, 21-9 hanya dalam masa 28 minit.
Seorang lagi pemain muda yang menggalas harapan negara, Leong Jun Hou juga tidak berdepan masalah untuk menyunmbangkan mata kelima negara apabila mudah menewaskan Cholan Kayan 21-11, 21-18 dalam masa 40 minit.
Malaysia mampu mengesahkan tiket suku akhir jika menumpaskan Amerika Syarikat (AS) esok, dan menentukan juara Kumpulan D jika mengalahkan Jepun pada Rabu. – UTUSAN ONLINE