PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu membuka peluang lebih besar kepada perseorangan profesional bagi memastikan skuad negara mampu memberi cabaran secara ‘adil’ dalam kejohanan seperti Piala Thomas.
Saranan itu disuarakan anggota skuad Piala Thomas 1998 dan 2002, Roslin Hashim selepas melihat Malaysia terlalu bergantung kepada Lee Zii Jia pada kempen di Bangkok, yang menyaksikan pasukan negara tersingkir di suku akhir.
Malaysia mengalami kekalahan pertama kepada India dalam tempoh 43 tahun selepas dua lagi perseorangan muda, Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao gagal menghadiahkan mata.
Dua mata pasukan dikutip jaguh No. 6 dunia yang juga pemain profesional, Zii Jia serta beregu serpihan, Aaron Chia-Teo Ee Yi.
“Dalam isu ketandusan pemain perseorangan ia bukanlah benda baharu sebagaimana yang terjadi semasa zaman Datuk Lee Chong Wei dan kini ia diteruskan Zii Jia.
“Seharusnya BAM memberi ruang buat pemain profesional bersama dalam skuad dan bukan pemain BAM sahaja kalau mereka ada potensi lebih baik.
“Kita sebenarnya ada beberapa pemain berkualiti antaranya Soong Joo Ven dan Cheam June Wei tetapi tidak dipilih, adakah kerana mereka bukan pemain naungan BAM,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Selain Zii Jia, BAM turut membawa pemain profesional, Liew Daren yang diturunkan ketika menentang Amerika Syarikat dan Jepun, tetapi tidak disenaraikan bertemu India.
Melengkapkan perseorangan adalah pemain berusia 22 tahun, Aidil Sholeh Ali Sadikin.
Roslin yang memenangi pingat emas perseorangan dan berpasukan lelaki pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur mahu BAM meletakkan matlamat demi Malaysia sebagai keutamaan.