JOHOR BAHRU: Pengendali Sarawak United, B. Satianathan sudah menjangkakan pasukan bimbangannya akan kecundang di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri kelmarin.
Melihat dari sudut positif, Satianathan percaya barisan pemainnya sudah melakukan yang terbaik dan mampu menimba pengalaman berharga daripada kekalahan itu untuk menjadi lebih baik di masa akan datang.
“Saya sudah jangka keputusan ini, saya tak mahu cakap kosong mengatakan kami boleh beraksi dengan lebih baik pada malam ini.
“Sudah tentu kami boleh tetapi melawan pasukan yang mengejutkan gergasi Asia di Liga Juara-juara Asia (ACL), apa yang kami boleh harapkan?
“Pemain sudah bertahan dengan baik, namun tetap bolos juga dan gol awal itu meruntuhkan semangat juang Sarawak United. Orang akan mempersoalkan kenapa tidak bermain menyerang, jika saya lakukan itu tak ubah seperti membunuh diri sahaja.
“Keputusan ini adalah pengajaran buat kami untuk menambah baik permainan khususnya dalam membuat hantaran dan tidak mudah hilang bola. Saya harap Sarawak United mampu memiliki kualiti yang ada pada JDT suatu hari nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Harimau Selatan, Benjamin Mora melihat kemenangan tersebut tidak dicapai dengan mudah setelah pemain dipaksa bekerja keras bagi memperoleh gol awal untuk meletakkan pasukan di kedudukan yang selesa.
Mora memberitahu, JDT menggunakan momentum kemenangan yang ada ketika ini bagi meneruskan rentak cemerlang.
“Saya menukar taktikal permainan tiga kali dan melakukan banyak pertukaran bagi memberi peluang kepada pemain simpanan seperti Danial Amier Norhisham, Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah untuk beraksi.
“Siapa pun lawan kami di pusingan suku akhir nanti, kami sudah bersedia. Mana-mana pasukan yang diundi menentang kami nanti akan memberikan aksi luar biasa ketika berdepan JDT, itu sudah pasti,” katanya.