Lapan pasukan kembali berentap dalam NSL 2022

Lapan pasukan kembali berentap dalam NSL 2022

PENGANJUR bersama barisan penaja Liga Super Bola Jaring (NSL) 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Liga Super Bola Jaring (NSL) 2022 bakal kembali menakluk gelanggang apabila dijadual membuka tirai di Stadium Juara, Bukit Kiara dari 3 hingga 26 Jun depan.

Saingan empat minggu itu menyaksikan lapan pasukan sama pada edisi sulung yang lalu iaitu KL Wildcats, Johor Jewels, Selangor Angels, Perak Phoenix, Melaka Mystic, Negeri Sembilan Venom, Kedah Sunshine dan Pahang Tulip turun memburu mahkota kejuaraan edisi kedua.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker percaya, kerjasama Astro Arena dan Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) akan membantu pembangunan sukan tersebut di negara ini.

TI LIAN KER

“Sooka NSL telah memberi nafas baharu bagi mendorong serta mempertingkatkan mutu sukan ini dalam kalangan wanita supaya lebih berketerampilan dan berdaya saing.

“Liga berkualiti seperti ini bukan saja mengilap bakat pemain dan meniup kembali semangat golongan wanita untuk bangkit malah berperanan meningkatkan kepimpinan wanita dalam badan sukan, kejurulatihan dan kepegawaian sukan.

“Sooka NSL juga telah menjadi platform terbaik untuk program pencarian dan pembangunan bakat disetiap negeri dengan menarik lebih ramai generasi muda merasai pengalaman dan pendedahan beraksi dalam liga profesional seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Presiden PBJM, Alwiyah Talib pula yakin sorakan dan sokongan penonton yang kali pertama hadir ke stadium akan merancakkan lagi liga musim ini.

PASUKAN KL Wildcats muncul juara edisi sulung Liga Super Bola Jaring 2021.

“Tiket akan dikenakan dengan harga yang minimum kepada penonton yang ingin hadir menyaksikan perlawanan nanti. Peminat pasti tidak akan ketinggalan menyaksikan perebutan takhta baru musim ini

“Selain penglibatan pemain kebangsaan , kehadiran pemain muda berbakat dan lebih bertenaga pasti memberi impak kepada setiap pasukan nanti. Bukan itu saja, terdapat pasukan yang akan mengunakan khidmat pemain import pasti menghangatkan lagi pertarungan nanti,” katanya.

Beliau juga melihat Sooka NSL sebagai medan terbaik pemilihan pemain serta pemanas badan bagi menghadapi Kejohanan Bola Jaring Asia pada September ini sebelum kelayakan untuk menyertai Kejohanan Bola Jaring Dunia, tahun hadapan.

Ketua Pembangunan Perniagaan Astro Arena, Preman Parameswaran berkata, sooka NSL menerima sambutan hangat meskipun baru pertama kali diperkenalkan apabila mencatat rating tertinggi 3 Juta tontonan di saluran televisyen Astro Arena dan aplikasi Astro GO sementara 679 ribu tontonan melalui platform digital.

ANTARA aksi menarik yang dipertontonkan dalam Liga Super Bola Jaring 2021.

“Perjalanan Sooka NSL masih jauh dan panjang, namun pihak Astro Arena dan PBJM optimis ini adalah langkah awal buat Malaysia mempunyai liga dalam sukan ini.

“Dengan populariti dan prestasi cemerlang skuad negara di pentas Asia Tenggara tidak mustahil sooka NSL mampu menjadi hab sukan antarabangsa dan mencipta jenamanya ke peringkat lebih tinggi satu hari nanti.

“Untuk merialisasikan usaha ini, saya berharap lebih ramai badan-badan korporat, konglomerat tempatan dan antarabangsa tampil membantu membawa golongan wanita ini lebih kompetitif serta memperkasakan lagi legasi sukan wanita paling popular di Malaysia ini,” katanya.

Buat julung kalinya, pada tahun ini menyaksikan applikasi penstriman popular terbaru, iaitu sooka tampil menjadi penaja utama rasmi dan dikenali sebagai sooka NSL 2022.

Peminat boleh membeli tiket di www.tickethotline.com.my untuk menyaksikan sooka NSL 2022 di Stadium Juara setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad atau menonton di Astro Arena (Saluran 801), melalui aplikasi sooka yang boleh dimuat turun dari Google Play atau Apple App Store. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya