MANCHESTER: Manchester City mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan cara paling dramatik apabila bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Aston Villa 3-2 menerusi tiga gol dalam tempoh 14 minit terakhir, sebentar tadi.
Ilkay Gundogan masuk dari bangku simpanan untuk menjaringkan dua gol dan Rodri turut meledak gol ketika anak-anak buah Pep Guardiola mengetepikan pencabar terdekat, Liverpool dengan kelebihan satu mata.
Jaringan Matty Cash dan bekas pemain kesayangan Liverpool, Philippe Coutinho tampak seperti bakal menghadiahkan gelaran kepada Reds.
Liverpool melaksanakan tugas mereka dengan turut bangkit daripada ketinggalan 0-1 untuk menewaskan Wolverhampton 3-1 di Anfield tetapi tindakan menyelamat City memastikan impian anak-anak buah Jurgen Klopp untuk menjulang empat trofi musim ini tidak kesampaian.
Gundogan memulakan kebangkitan City apabila menanduk hantaran lintang Raheem Sterling pada minit ke-76 untuk merapatkan jurang 1-2.
Rodri kemudian merobek gawang dari luar kotak penalti, dua minit berselang sebelum Gundogan melengkapkan kemenangan di minit ke-81 dengan menanduk hantaran lintang Kevin De Bruyne. – AGENSI