LONDON: Hasrat bintang Mohamed Salah untuk berdepan Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara menjadi kenyataan Liverpool akan menentang gergasi Sepanyol itu di Paris, 28 Mei ini.
Salah membantu Liverpool mengatasi Villarreal pada separuh akhir kelmarin, dan selepas tamat perlawanan, dia mengakui lebih suka bertemu Real berbanding Manchester City dalam pertebutan kejuaraan.
Sebaik sahaja Real menumpaskan City dalam aksi penuh dramatik di Santiago Bernabeu, Salah memuat naik status di media sosial: “Ada hutang yang perlu dilunaskan.”
Real menewaskan Liverpool 3-1 pada final 2018 yang berlangsung di Kyiv, Ukraine.
Dua gol Gareth Bale membawa kepada kemenangan Real, namun perlawanan dicemari insiden babak pertama membabitkan Salah dan Sergio Ramos.
Kapten Real itu mengasari Salah sehingga bahu bintang Mesir berkenaan cedera. Salah terpaksa dikeluarkan dan tidak dapat membantu pasukannya.
“Saya mahu menentang Madrid, ia isu peribadi.
“City adalah pasukan yang amat sukar, namun secara peribadi saya lebih suka Madrid kerana kami tewas di final, jadi saya mahu melawan mereka dan berharap dapat menang,” kata Salah.
Kata Salah, dia mempunyai urusan yang belum diselesaikan meskipun Ramos kini tidak lagi bersama Real. – AGENSI