Jang tak takut jumpa Harimau Selatan

Jang tak takut jumpa Harimau Selatan

NEGERI Sembilan melakukan persiapan untuk menerima kunjungan Harimau Selatan dalam aksi Liga Super di Paroi malam ini. - IHSAN NSFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pertembungan dua pasukan yang belum kalah musim ini, Negeri Sembilan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini menjadi tum­puan peminat Liga Super.

Biarpun Negeri Sembilan mendahului liga, namun reputasi membuktikan Harimau Selatan yang baru melengkapkan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan cemerlang menjadi pilihan me­raih tiga mata di Paroi, sekali gus merampas kedudukan pendahulu.

Sepanjang ketiadaan JDT yang berehat beberapa minggu bagi memberi laluan kepada saingan ACL, Negeri Sembilan berjaya melonjak ke tangga teratas menerusi 14 mata hasil empat kemenangan dan dua seri.

Begitupun, juara lapan musim berturut-turut, JDT yang memenangi semua empat aksi pertama mereka sedia kembali ‘mengganas’ selepas melakar sejarah melayakkan diri ke pusingan 16 akhir ACL buat kali pertama.

Biarpun bakal berdepan bekas pasukannya yang diakui amat gah dengan deretan pemain-pemain bintang, kapten Negeri Sembilan, Zaquan Adha Abd. Radzak menegaskan, tiada apa yang menggentarkan skuad Jang, yang tidak rela kalah di laman sendiri.

“Walaupun Negeri Sembilan kini berada di kedudukan teratas namun kelebihan dan tekanan itu ada pada lawan, dari awal lagi sasaran kami musim ini adalah menduduki kedudukan lima terbaik dengan memberikan saingan hebat kepada pasukan lain termasuk JDT.

“Namun begitu, jika ada peluang berada di kedudukan lebih bagus sudah tentu kami akan menggunakannya dengan tampil dengan aksi terbaik termasuk menentang JDT esok (hari ini).

“Tidak ada-apa tekanan di pihak Negeri Sembilan cuma perlawanan kali ini yang terbaik adalah untuk mengutip satu mata namun jika boleh menang dan mendapat tiga mata, itu merupakan bonus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di Liga Super adalah pada tahun 2018 dengan JDT menang 2-0 dalam aksi di Larkin manakala sebelum itu Negeri Sembilan dibelasah 4-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Seremban.

Sementara itu, Mohamad Zaquan Adha berharap peminat pasukan Hobin Jang Hobin dapat memenuhi Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini sebagai penaik semangat buat para pemain memberikan aksi terbaik mereka.

“Pemain juga tahu, penyokong juga sangat teruja dengan perlawanan ini apatah lagi ketika ini pasukan pula berada di puncak liga. Saya harap justeru mereka akan beramai-ramai memenuhi stadium dan bersama pasukan dengan memberikan sokongan terbaik mereka,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya