HANOI: Atlet lompat bergalah negara, Iskandar Alwi mengakui bimbang dengan keadaan dirinya selepas mengalami kecederaan tidak dijangka pada sesi latihan di Hanoi, semalam namun percaya ia bukan penghalang untuk dirinya meraih pingat pada penyertaan keempatnya di Sukan SEA.
Iskandar yang berusia 28 tahun itu, masih percaya peluang untuk dirinya meraih pingat dalam acara final yang dijadual berlangsung di Stadium My Dinh, hari ini tetap ada.
“Apabila sampai di sini, semuanya OK saja, cuma selepas latihan pemanas badan tercedera sedikit di buku lali kanan dan saya akan membuat pemeriksaan lanjut.
“Agak merisaukan juga (kecederaan dialaminya) kerana hanya tiga negara saja menyertainya (lompat bergalah). Yang saya tahu, Filipina dan Thailand masing-masing menghantar dua atlet dan Malaysia seorang.
“Saya kenal tiga daripada pesaing ini tetapi seorang lagi atlet junior dari Thailand itu saya tidak berapa pasti. Apapun, sasaran saya adalah memperbaiki catatan peribadi terbaik saya iaitu 5.31 meter (m).
“Dapat pingat atau pun tidak, itu terpulang kepada situasi esok kerana atlet junior dari Thailand itu mempunyai catatan peribadi terbaik lebih kurang dengan saya iaitu 5.30 manakala atlet junior Filipina pula dalam 5m. Oleh itu, harapan untuk meraih pingat itu ada di sini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan, semalam.
Untuk rekod, Iskandar yang pernah beraksi di Suka Asia Incheon 2014 bakal membuat penampilan keempatnya di Hanoi dengan pencapaian terbaiknya meraih perak pada edisi di Myanmar 2013 manakala bakinya membawa pulang gangsa.
Pada temasya di Filipina tiga tahun lalu, Iskandar yang berasal dari Johor Bahru meraih gangsa dengan lompatan setinggi 5m manakala atlet Filipina, Ernest Obiena meraih emas (5.45m) yang juga rekod baharu temasya. Atlet Thailand, Porranot Purahong meraih perak dengan 5.20m.