BANGKOK: Sehari selepas mengejutkan juara lima kali, Malaysia pada suku akhir kelmarin, India memahat satu lagi sejarah badminton Piala Thomas apabila mara ke final buat kali pertama dengan menumpaskan juara 2016, Denmark 3-2 pada separuh akhir malam tadi.
Prannoy H.S. muncul wira dengan mengutip mata kemenangan India selepas menumpaskan Rasmus Gemke 13-21, 21-9, 21-12 dalam perseorangan ketiga, sekali gus menempah pertemuan dengan juara bertahan, Indonesia esok.
Indonesia yang juga pemenang terbanyak kejohanan dengan 14 kejuaraan mara selepas menyingkirkan juara 2014, Jepun dalam satu lagi aksi separuh akhir di Impact Arena.
Terdahulu, India ketinggalan 0-1 selepas pemain No. 1 dunia, Viktor Axelsen menewaskan Lakshya Sen 21-13, 21-13.
Pasangan No. 8 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty menjadikan kedudukan 1-1 selepas mengalahkan beregu berpengalaman, Kim Astrup-Mathias Christiansen dalam pertarungan sengit 21-18, 21-23, 22-20.
India merampas kedudukan pendahulu selepas pemain perseorangan kedua mereka, K. Srikanth mengatasi Anders Antonsen 21-18, 12-21, 21-15, sebelum ‘The Danes’ mengikat kedudukan 2-2 menerusi Anders Skaarup Rasmussen-Frederik Sogaard yang menewaskan Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala 21-14, 21-13. – AGENSI