Hup Wei rayu menteri 'selamatkan olahraga Selangor'

Hup Wei rayu menteri ‘selamatkan olahraga Selangor’

LEE HUP WEI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak dipilih bukan kerana tidak layak sebaliknya kerana masalah dalaman persatuan sukan.

Itu kekesalan legenda lompat tinggi negara, Lee Hup Wei ketika menyampaikan luahan rakan-rakan atlet dan jurulatih yang tidak terpilih mewakili Malaysia pada Sukan SEA Vietnam yang akan membuka tirai Khamis depan.

Mengambil tanggungjawab sebagai bekas atlet paling lama berkhidmat, Hup Wei menyeru Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk campur tangan dan menarik balik pembatalan pendaftaran Persatuan Olahraga Selangor (POS) oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd. Yusof pada 24 Mac lalu.

Hup Wei yang mengumumkan persaraannya pada hujung Mac lalu berkata, sepanjang 18 tahun sebagai atlet olahraga, konflik dalaman persatuan sukan sering berlaku, namun menyifatkan situasi sekarang sudah kritikal.

Katanya, tindakan PJS membatalkan pendaftaran POS akan memberi kesan kepada atlet dan jurulatih yang bernaung di bawah badan induk itu yang menyaksikan semua program untuk mereka terbantut sekali gus menutup peluang untuk bertanding di Sukan SEA dan Sukan Malaysia (Sukma).

“Pada 24 Mac lalu, PJS telah membatalkan pendaftaran POS. Saya mendapat tahu bahawa kes ini telah dibawa ke mahkamah. Tetapi anehnya, PJS telah pun membatalkan POS sebelum mahkamah membuat keputusan.

“Saya bukan pandai undang-undang, tetapi jika betul ada something fishy, ini sesuatu yang perlu diperjuangkan dan diberi perhatian serius oleh semua pemegang taruh sukan di Malaysia.

“Perkara ini menyebabkan ramai atlet dan jurulatih yang bernaung di bawah POS menerima kesan. Segala program untuk mereka terbantut dan boleh menutup peluang mereka untuk bertanding di Sukan Sea dan Sukma,” tulisnya di Facebook.

Anak jati kelahiran Kajang, Selangor itu tidak berselindung menyatakan kekecewaannya terhadap situasi POS yang terkini malah turut mendakwa POS tidak mengambil berat kebajikan atlet.

“POS sepatutnya menjadi pusat bagi membangunkan bakat atlet di peringkat akar umbi. Saya juga bermula dengan POS, malangnya POS digunakan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu untuk kedudukan dan wang semata-semata. Mereka sanggup melihat POS terkubur daripada kehilangan kuasa,” jelasnya dalam hantaran itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya