PETALING JAYA: Hatrik Razie Abd. Rahim tidak cukup untuk membantu Malaysia menumpaskan India dalam saingan Super 4 hoki Piala Asia 2022 apabila kedua-dua pasukan terikat 3-3 di Jakarta, Indonesia, sebentar tadi.
Itu bermakna, skuad Speedy Tigers wajib menumpaskan Jepun, Selasa ini untuk mencari tiket ke perlawanan akhir.
Anak-anak buah Arul Selvaraj setakat ini mengumpul dua mata dalam dua perlawanan selepas turut seri 2-2 dengan Korea Selatan, semalam.
Selain perlu menang ke atas Jepun, Malaysia yang belum kalah dalam semua perlawanan di Jakarta terpaksa menunggu keputusan perlawanan di antara India dan Korea Selatan.
Dalam aksi sengit yang berlangsung di Gelora Bung Karno (GBK) itu, Malaysia mendahului 2-0 menerusi jaringan sudut penalti Razie pada minit ke-12 dan minit ke-21.
Bagaimanapun, bersambung pada babak ketiga, India bangkit daripada ketinggalan dengan jaringan sudut penalti yang disempurnakan Vishnukant Singh pada minit ke-32, menjadikan kedudukan 1-2.
Berbaki 15 minit terakhir, kedua-dua pasukan mengasak kubu masing-masing sebelum jaringan padang Sowmarpet Vitalacharya Sunil di minit ke-53 dan gol Nilam Sanjit Xess, dua minit kemudian membolehkan India mendahului 3-2.
Begitupun, belum sempat India bersorak kegembiraan, Razie melengkapkan hatrik, sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-56 untuk mengikat kedudukan 3-3.
“Perasaan saya campur baur. Seperti yang saya kata, jika bermain dengan baik maka perlu menang. Untuk perlawanan malam ini, kita bermain baik tetapi kita tidak menang.
“Begitupun banyak perkara baharu kita belajar dan saya gembira dengan prestasi Razie yang berjaya menghasilkan jaringan sudut penalti.
“Yang penting, mereka ada mentaliti untuk menang. Bertarung sehingga tamat, kita berjaya buktikan malam ini dan kita akan teruskan dengan Jepun nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE