PETALING JAYA: Firasat seorang bapa terhadap anaknya yang kali pertama bertanding di temasya besar ternyata benar selepas Nor Sarah merangkul emas tidak diduga dalam lompat bergalah wanita pada Sukan SEA Vietnam 2021.
Adi Daud, 56 bapa kepada Nor Sarah pemenang pingat emas ke-19 negara percaya anak keempat daripada tujuh beradik itu akan pulang dengan kilauan emas.
“Sebelum saya berlepas ke Hanoi, ayah sentiasa menitipkan kata-kata semangat dan keyakinan walaupun kami bertanding dalam kategori B.
“Jangan bimbang, macam mana pun ayah percaya Sarah akan bawa balik pingat emas buat Malaysia.
“Walaupun saya rasa ini penampilan pertama di pentas antarabangsa dan mewakili negara, tapi ayah tetap percaya dan yakin saya boleh melakukannya.
AKSI Nor Sarah Adi ketika memenangi pingat emas lompat bergalah Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.“Sejam sebelum acara bermula saya memohon restu dari ayah dan alhamdulillah semuanya dipermudahkan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di LapanganTerbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) kelmarin.
Baru menginjak usia 22 tahun, anak gadis kelahiran Felda Jengka 3 di Maran, Pahang ini menganggap semangat adalah kunci kejayaan walaupun tidak diberikan harapan antara tonik buat dirinya.
Nor Sarah meraih emas dengan lompatan 4 meter (m), manakala perak dimenangi atlet Thailand, Chonthicha Khabut (3.80m) dan gangsa milik Alyana Joyce Nicolas Martinez dari Filipina, 3.60m.
Sarah juga turut membantu kuartet 4x100m wanita yang disertai S. Komalam Shally, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Azreen Nabila Alias meraih gangsa dengan catatan 45.32s. – UTUSAN ONLINE